Laksana Tugas Tanpa Mengira Fahaman Politik – Joachim

RANAU: Pemimpin masyarakat di peringkat akar umbi di Sabah disaran agar sentiasa melaksana tugas dengan adil dan saksama tanpa mengambil kira fahaman politik.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. Joachim Gunsalam berkata, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) dan Ketua Kampung (KK) di negeri ini perlu memikul tanggungjawab yang diberi dengan memastikan perkhidmatan mereka bersifat adil dan tidak berat sebelah.

Beliau berkata, dalam menjalankan tugas, semua pemimpin akar umbi ini juga perlu sentiasa peka dengan isu-isu yang berlaku dalam komuniti.

“Kita perlu bertindak adil dalam melaksanakan tugas, tidak berat sebelah atau pilih kasih. Ini sudah pasti akan memupuk keyakinan dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas penyerahan watikah pelantikan kepada 65 penerima, di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, hari ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian ini berkata, kewajipan dan amanah yang dipikul oleh KAN, WKAN dan Ketua Kampung amat penting dalam memastikan hak dan kepentingan rakyat terbela.

“Jangan hanya goyang kaki berada di pejabat dan menunggu laporan sahaja, berkhidmatlah dengan penuh integriti,” ujarnya.

ADUN Kundasang ini berkata, lantikan mereka bukan sekadar mengisi kekosongan jawatan, sebaliknya perlu memastikan komuniti setempat mendapat hak mereka selari dengan institusi perundangan hak dan adat istiadat yang perlu dihormati dan diikuti semua lapisan rakyat.

Dr. Joachim turut mengingatkan semua rakyat agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika menjalankan tugas masing-masing serta berhati-hati memandangkan cuaca yang tidak menentu ketika ini.