Lajim Hilang Kelayakan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Kerana Muflis

1562
Lajim, tengah, dengan ahli Majlis Tertinggi Parti Harapan Rakyat Sabah Khamis petang apabila Lajim mengumumkan bahawa beliau terpaksa melepas jawatan Presiden buat masa ini.

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Lajim Ukin, hilang kelayakan sebagai Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) selepas diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 14 September lalu.

Jawatannya kini dipangku Timbalan Presiden 1, Maijol Mahap.

Isu muflis dihadapi Lajim bagaimanapun selesai selepas beliau membayar hutang RM185,000 yang dikaitkan terhadapnya semalam, manakala notis kebankrapan terhadapnya dibatalkan Mahkamah Tinggi Khamis pagi.

Lajim berkata, walaupun sudah selesai, beliau perlu mengikuti perlembagaan Harapan Rakyat dengan menunggu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk dilantik semula sebagai Presiden.

“Hanya di AGM saya boleh diterima sebagai Ketua Bahagian dan Presiden dan kebetulan AGM negeri akan diadakan pada 26 Oktober ini. Saya masih bersama Harapan sebagai ahli,” katanya dalam sidang media di sini, Khamis petang.

Mengenai kedudukannya sebagai ADUN, Lajim berkata perkara itu diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Syed Abas Syed Ali.

Beliau berkata, kedudukan sebagai ADUN tidak timbul kerana isu muflis dirinya sudah diselesaikan.

Difahamkan, Syed Abas sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menganggapnya tiada masalah kerana isu berkenaan sudah selesai.

Sementara itu, Maijol berkata, kedudukan Lajim sebagai Presiden Harapan akan dikembalikan pada AGM akan datang.

“Beliau sepatutnya boleh terus sebagai presiden parti tetapi prosedur parti menetapkan pelantikan semula perlu melalui AGM dan kita perlu mematuhinya,” katanya. – Mohd Izham Unnip Abdullah/bharian.com

BERITA SELANJUT: –

https://www.bharian.com.my/berita/politik/2017/09/328581/lajim-hilang-kelayakan-presiden-parti-harapan-rakyat-sabah