Lagi Infrastruktur Air Dirosakkan Di Sepanggar, JANS Rayu Bantuan Rakyat

88
Amarjit melawat tangki air K2 di Sepanggar yang menjadi sasaran vandalisme.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) merayu orang ramai mengambil tanggungjawab menjaga pam atau tangki air di kawasan masing-masing daripada perbuatan vandalisme yang akan menyebabkan kerugian serta mengganggu bekalan air harian.

Pengarah JANS, Ir Amarjit Singh berkata, kejadian terbaharu berlaku di Tangki K2, Sepanggar yang dikesan semalam apabila kesemua sistem panel dan pendawaian di situ dirosakkan atau dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Amarjit berkata, jika perbuatan jahat itu gagal dikesan awal, kemungkinan besar puluhan ribu penghuni di seluruh Sepanggar akan mengalami gangguan bekalan untuk tempoh yang lama.

Habis… semua kabel di dalam panel kawalan di tangki air K2 Sepanggar rosak dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Rayuan saya kepada orang Sabah tolong jangan kacau barangan kami, biarlah orang yang berkelayakan lakukannya, kami jurutera air biar kami buat kerja kami, biar kami uruskan semua ini kalau kamu mula sentuh inilah yang jadi.

“Apa sahaja hasil kami tahun ini yang dijangka RM260 juta, kalau RM50 juta belanja untuk baiki ini apa guna, lebih baik kita buat sekolah anak yatim atau seperti Ketua Menteri selalu cakap buat benda baik untuk orang Sabah,” katanya kepada pemberita ketika meninjau kerosakan itu hari ini.

Kerosakan pam air dan tangki milik JANS itu adalah yang kedua apabila pada Jun lalu, seluruh penduduk di Taman Putera Jaya dan Taman Flamengo di Sepanggar terputus bekalan air selama hampir seminggu akibat vandalisme.

Dalam kejadian itu, kesemua peralatan di dalam tangki air di kawasan itu dicuri atau dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kerosakan panel akibat vandalisme boleh menyebabkan kerugian sehingga jutaan ringgit dan menyebabkan bekalan air terputus.

Amarjit berkata, ketika ini JANS tidak mempunyai anggota yang cukup untuk menjaga semua infrastruktur miliknya, namun beberapa usaha telah dilakukan bagi mencegah kejadian sama daripada berulang di tempat lain.

Katanya, selain menyediakan pengawal keselamatan, JANS selepas ini akan meletakkan kamera litar tertutup (CCTV) di semua tangki air atau rumah pam yang ada untuk dipantau di pusat operasi.

“Sebenarnya sudah ada dalam perancangan, menteri, Datuk Peter Anthony telah pun mengarahkan saya untuk membuat pengurusan aset, kita telah pun hantar kertas kerja kepada Kementerian Kewangan dan tunggu pengesahan sahaja, selepas diluluskan maka kita akan ada CCTV semua boleh dipantau di pusat operasi.

“Ketika ini kita O.K. cuma seperti jika anda memandu, indikator minyak rosak anda tidak tahu sama ada minyak penuh atau kosong itulah yang berlaku kami alami masalah operasi,” jelas beliau.