Lagi Cubaan Burukkan Mohd Shafie Melalui Video Tular

283

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Satu lagi cubaan memburuk-burukkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ditimbulkan melalui penularan klip video lama yang menunjukkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menyamakan PPBM dengan UMNO.

Rakaman yang disifatkan bermotif jahat oleh salah seorang pegawai beliau, menunjukkan Mohd. Shafie sedang bercakap dengan beberapa wanita yang meminta pandangannya untuk menyertai PPBM.

“Ini Bersatu, UMNO. Jadi kenapa kamu mahu ikut Bersatu,” soal Mohd. Shafie kepada kumpulan wanita itu seperti di dalam klip tersebut.

Ketika dihubungi, pegawai Mohd. Shafie berkata, Presiden Warisan berkenaan tiada sebarang komen tentang video itu.

Katanya, klip video itu dirakam sejak sebelum bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Noor mengumumkan perancangan membawa PPBM ke Sabah.

Hajiji sebelum itu telah mengetuai beberapa pemimpin UMNO Sabah meninggalkan parti itu dan meletakkan dirinya sebagai bakal memimpin PPBM walaupun pada masa itu PPBM menafikan mahu membuka cawangan di Sabah.

Pegawai tersebut berkata, kumpulan wanita dari Tawau di dalam klip itu mendakwa mereka sebenarnya telah terlebih dahulu meminta supaya PPBM membuka cawangan di Sabah sebelum Hajiji membuat perancangan.

Semasa perbualan tersebut, kumpulan tersebut turut meminta jawatan di dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Kalabakan kepada Ketua Menteri.

Dalam video itu, kedengaran Mohd. Shafie bertanya kepada wanita itu siapa yang menghasut mereka dan menjelaskan Warisan berada di landasan tepat untuk membela hak Sabahan dan negeri di bawah Persekutuan Malaysia.

Mohd. Shafie turut memberitahu beliau telah memilih menubuhkan parti baharu dan menolak pelawaan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai PPBM sebagai Timbalan Presiden sebelum pilihan raya umum lalu.

“Saya dipujuk oleh Tun Mahathir, saya tidak mahu. Jawatan tinggi lagi, bukan jawatan saya mahu pegang,” katanya sambil menasihatkan wanita itu jangan mengejar kedudukan dalam parti.

Sejak sebelum pilihan raya umum sehinggalah selepas itu, Mohd. Shafie sentiasa menegaskan parti Warisan sebagai parti tempatan akan fokus kepada perjuangan hak Sabah di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

PPBM telah melebarkan sayapnya di Sabah pada April lalu walaupun ada bantahan daripada Warisan dan rakan sekutunya iaitu PKR serta DAP Sabah kerana bekas-bekas pemimpin UMNO yang menyertai parti itu adalah penyokong kuat bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.