Lagi 400 PATI Filipina Diusir Keluar Dari Sabah

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Seramai 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina diusir pulang ke negara asal menerusi pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, hari ini.

Pengusiran yang diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Jabatan Imigresen dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), polis dan pelbagai agensi lain itu adalah siri ke-23 melalui laut tahun ini.

Pengarah MKN Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan pengusiran PATI sepanjang tahun ini seramai 5,645 orang.

Katanya, sebagai usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 juga, pihaknya memastikan semua tahanan berada dalam keadaan sihat sebelum diusir.

“Tahanan yang didapati sakit akan menjalani rawatan sewajarnya terlebih dahulu.

“Semua tahanan juga menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diusir dan penjagaan kebersihan diamalkan sepanjang proses pengusiran berlangsung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sitti Saleha berkata, pihaknya terus komited untuk melaksanakan pengusiran PATI dan semua aktiviti berkaitan penguatkuasaan terhadap PATI walaupun ketika wabak Covid-19 belum berakhir.

Beliau berharap semua pihak terus memberi kerjasama dan sokongan terhadap usaha berkenaan serta menghargai maklumat yang diberikan oleh penduduk tempatan dalam menjejaki dan menangkap PATI yang menyusup masuk ke negara ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pencerobohan PATI  dinasihatkan untuk segera menghubungi National Task Force di talian 011-62511223.