Lafa-Media Akan Terus Jalin Kerjasama Bagi Pembangunan Bola Sepak

98

LABUAN: Persatuan Bola Sepak Labuan (Lafa) akan terus menjalin kerjasama dengan media bagi pembangunan sukan bola sepak di pulau bebas cukai itu.

Bernama melaporkan presiden Lafa Sophian Said sebagai berkata kerjasama itu bertujuan untuk mendapatkan liputan berita bagi program pencarian bakat baharu Lafa, kejohanan bola sepak dan aktiviti berkaitan.

“Kami mesti mengelakkan salah faham dengan media tetapi sebaliknya membina dan mengekalkan hubungan baik dengan mereka,” katanya selepas majlis penyerahan pakaian korporat Persatuan Pengamal Media Labuan di kediaman Penaung Lafa Datuk Rozman Isli malam tadi.

Sehubungan itu, Sophian berkata Lafa akan terus menyalurkan maklumat kepada semua media platform mengenai program dan perkembangan terkini persatuan itu dan memberi respons segera bagi sebarang pertanyaan.

“Kami sesungguhnya amat positif dengan kerjasama ini, dan usaha ini pasti berjaya mencapai matlamatnya bagi pembangunan sukan bola sepak di pulau ini,” katanya.

Sophian juga optimistik kerjasama itu akan menjadi pengubah keadaan dalam pentadbiran dan pembangunan bola sepak Labuan, yang akan menyumbang kepada kejayaan teknikal dan komersial sukan di sini.