Ladang Beroperasi, Polis Bagi Amaran Kepada Pengurus Dan Pekerja Ingkar MCO

Polis memberi talimat dan amaran kepada pekerja ladang kerana ingkar arahan MCO.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Seorang pengurus ladang, 44, diberi amaran keras selepas didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di sebuah ladang, Jalan Segama, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, amaran itu diberikan selepas ladang kelapa sawit berkenaan masih beroperasi seperti biasa walaupun terdapat arahan kerajaan negeri mengenai penutupan semua ladang di Lahad Datu, Tawau dan Kinabatangan, berkuat kuasa kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, terdahulu, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di ladang berkenaan bagi tujuan pemantauan.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, anggota bertugas mendapati ladang itu beroperasi seperti biasa.

“Seramai 25 pekerja terdiri daripada 18 lelaki dan tujuh wanita berumur antara 20 hingga 47 tahun diarahkan menghentikan kerja masing-masing, diberikan taklimat serta amaran mengenai arahan penutupan operasi ladang,” katanya menerusi kenyataan media.

Tambahnya, polis turut memanggil seorang lelaki iaitu pengurus ladang berkenaan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk memberi keterangan.

“Amaran keras turut diberikan kepada pengurus ladang tersebut kerana ingkar peraturan yang ditetapkan kerajaan khususnya sepanjang pelaksanaan MCO.

“Mana-mana individu (ladang dan kilang) berdepan risiko tindakan tegas termasuk ditangkap jika masih berdegil, selaras dengan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) iaitu tidak mematuhi apa-apa perintah yang sah dikeluarkan pegawai diberi kuasa,” katanya.

Selain itu, individu berkenaan turut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan fungsi jawatannya.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, polis menahan seorang pesara tentera selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan Proton Exora, di simpang Tamoi, di sini, kelmarin.

Nasri berkata, dalam kejadian jam 10.50 pagi itu, suspek dikatakan lari dari sekatan jalan raya, sebelum ditahan di lokasi tersebut.

“Pemeriksaan mendapati, suspek, warga tempatan, 40, menaiki kenderaan terbabit bersama isteri dan dua anaknya berumur antara 7 hingga 38 tahun.

“Siasatan mendapati kenderaan yang dipandu suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 108 (3) (f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5000 hingga RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.