Labuan Terus Gunakan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030

54

LABUAN: Perbadanan Labuan akan terus menggunakan Rangka Tindakan Pembangunan Labuan 2030 untuk memacu pertumbuhan ekonomi pulau ini, selari dengan pembangunan negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Dr Fary Akmal Osman.

Bernama melaporkan rangka tindakan itu akan disesuaikan dengan keperluan semasa Labuan dan akan didasarkan kepada keadaan kewangan kerajaan.

“Saya tidak fikir tidak perlu kita merancang pelan pembangunan baharu yang sudah tentu memakan masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rangka tindakan tersebut telah dilancarkan pada Januari tahun lepas, menetapkan hala tuju pembangunan holistik pulau bebas cukai itu dengan menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan ekonomi, sosial dan fizikal.

“Kami sedang berusaha untuk merealisasikan pelan dalam rangka induk yang bertujuan untuk merubah Labuan menjadi sebuah bandar pulau yang pintar dan mampan,” katanya.

“Labuan mempunyai potensi luas yang belum diterokai sepenuhnya seperti dalam bidang pendidikan dan pelancongan… usaha sedang dibuat bagi membina pusat latihan PETRONAS serta kampus cawangan pendidikan tinggi dibina di sini.

Menurut Dr Fary, Labuan sedang membangunkan sektor pelancongan yang lebih mampan dengan membina pelbagai prasarana dan kemudahan pelancongan untuk menambah nilai kepada sektor yang menguntungkan itu.

Beliau juga menekankan keutamaan pembangunan modal insan dan akan meningkatkan program pelancongan yang berkaitan untuk melatih lebih banyak operator dan pemandu pelancong.

Ketika ditanya mengenai cadangan jambatan yang menghubungkan Labuan ke Sabah, beliau berkata perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut oleh sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada pegawai berpangkat tinggi daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Perbadanan Labuan dan Kerajaan Negeri Sabah.

“Setiausaha Agung Kementerian Wilayah Persekutuan telah bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal mengenai jambatan yang dicadangkan dan beliau positif kepada idea itu dan akan membincangkan perkara tersebut dengan ahli jawatankuasa,” kata Dr Fary lagi.