Labuan Terima 500 Unit Khemah C-Tent Daripada NADMA

LABUAN: Labuan telah menerima sejumlah 500 unit khemah boleh lipat atau C-Tent daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada Jumaat untuk kegunaan mangsa bencana alam pada masa akan datang.

Sumbangan khemah itu disalurkan kepada Labuan susulan pertemuan NADMA dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dan Zon-Zon di Labuan pada Ogos tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata khemah itu adalah untuk diagihkan kepada mangsa banjir agar mereka mempunyai tempat berlindung lebih selesa jika terpaksa dipindahkan.

“Khemah itu akhirnya tiba juga di sini… kami percaya kelewatan adalah disebabkan penularan pandemik COVID-19.

“Kami perlu berterima kasih kepada NADMA atas keprihatinan dan bantuan mereka kepada Labuan kerana ini sudah pasti akan mengurangkan beban pihak berkuasa tempatan dalam menghadapi kemungkinan berlaku bencana,” katanya kepada Bernama.

NADMA setakat ini telah menyumbang pelitup muka, pensanitasi tangan serta peralatan perlindungan peribadi seperti kasut keselamatan, sut dan pakaian pengasingan selain termometer sepanjang penularan pandemik COVID-19 di Labuan.