Labuan Sedia Beralih ke Fasa Tiga PPN – Senator Bashir Alias

LABUAN: Kemajuan positif kadar vaksinasi Labuan sebanyak 80 peratus bakal menyaksikan pulau bebas cukai itu boleh beralih ke Fasa Tiga di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bila-bila masa minggu depan.

Senator Datuk Bashir Alias berkata kadar vaksinasi (bagi dos kedua) sudah meliputi sejumlah 54,800 orang daripada 68,500 populasi dewasa dan dicapai lebih awal daripada tarikh yang disasarkan iaitu pada 30 Julai.

“Ini bermakna Labuan telah mencapai sasaran vaksinasi untuk beralih ke fasa seterusnya dan kami optimistik ia berada di landasan yang betul ke arah mencapai imuniti kelompok,” katanya kepada Bernama selepas menyaksikan suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech kepada seorang penerima di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan di sini, yang melengkapkan imunisasi bagi 54,800 orang di wilayah persekutuan itu.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, dalam ucapan secara dalam talian dari Putrajaya dan bersiaran secara langsung di PPV itu, berkata Labuan kini sedia beralih ke Fasa Tiga PPN selepas ia mengimunisasi sejumlah 54,800 orang daripada 68,500 populasi dewasa yang disenaraikan sebagai layak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) hari ini.

Bashir berkata justeru itu, penduduk Labuan perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

“Nasihat saya kepada komuniti perniagaan ialah terus mematuhi SOP dan hentikan sikap acuh tak acuh kerana kita perlu bersama-sama mengekalkan momentum yang baik ini dalam usaha menangani kes-kes COVID-19,” katanya.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Mohd Dzulfaizal Ab Manan pula berkata sukarelawan daripada Privo Team (koordinator bagi pelaksanaan vaksinasi secara jumpa terus dan pandu lalu) akan terus memainkan peranan dalam Program Imunisasi COVID-19 Labuan.

“Kami akan menggerakkan pasukan kami ke kampung-kampung melalui pelaksanaan vaksinasi dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti penduduk yang belum divaksin dalam usaha mencapai sasaran tiada sesiapa pun yang terpinggir.

“Kami percaya masih terdapat sebilangan kecil penduduk yang enggan mendapatkan vaksin atas alasan yang tidak diketahui, kami perlu memahamkan mereka mengenai kepentingan mendapatkan vaksinasi bagi mengelak jangkitan COVID-19,” katanya.