Labuan IBFC kekal berdaya tahan pada 2019 dengan pencapaian ketara

LABUAN: Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) kekal berdaya tahan dalam menghadapi cabaran pasaran global pada tahun lepas.

Pusat itu telah mengekalkan pertumbuhannya dalam sektor perniagaan utama dan menyaksikan peningkatan dalam usaha perniagaan yang inovatif, sejajar dengan anjakan progresif Labuan IBFC ke arah perniagaan kewangan yang lebih berorientasikan digital.

Laporan Pasaran 2019 yang diumumkan hari ini, menyenaraikan pencapaian penting oleh sektor perniagaan di Labuan IBFC termasuk pertumbuhan dalam pemerbadanan syarikat baharu, walaupun pada kadar yang lebih perlahan dengan 981 pemerbadanan baharu pada 2019.

Syarikat dari rantau Timur Jauh menunjukkan aliran positif dalam tempoh tiga tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 33.3 peratus pada 2019.

Trend positif dalam pemerbadanan syarikat ini adalah seiring dengan pertambahan syarikat-syarikat amanah Labuan, yang menyaksikan penyerahan lima lesen baharu pada 2019, menjadikan jumlah bilangan syarikat seperti ini kepada 61 buah.

Antara momen terpenting pada tahun berkenaan adalah pelancaran rangka kerja cukai IBFC yang baharu, yang telah mengubah landskap perniagaan Labuan IBFC.

Ciri utama pada rangka kerja baharu ini merangkumi pemindahan opsyen cukai sebanyak RM20,000, penyingkiran elemen perlindungan jaminan lingkaran dan pengenalan keperluan bahan yang akan meningkatkan lagi sumbangan oleh peserta pasaran kepada ekonomi pulau tersebut.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa industri perbankan Labuan kekal kukuh daripada segi kewangan untuk menyokong perniagaan mereka di rantau ini.

Kedudukan Labuan yang agak strategik serta berkongsi zon masa yang sama dengan banyak bandar-bandar utama dan kepelbagaian peserta kewangannya telah memberi kelebihan kepada Labuan IBFC agar terus menyediakan pengantaraan kewangan yang efektif di Asia.

Ini ditonjolkan oleh 80.9 peratus daripada jumlah pembiayaan yang disalurkan kepada seluruh rantau dan pertumbuhan keuntungan industri sebanyak 26.9 peratus kepada US$634.8 juta.

Sementara itu, industri insurans Labuan menunjukkan pertumbuhan hasil yang sederhana tetapi keuntungan yang lebih tinggi pada 2019.

Jumlah transaksi premium kasar adalah sebanyak US$1.5 bilion dengan 89 peratus datang daripada pasaran Asia.

Keuntungan industri menokok 43.7 peratus kepada US$190.5 juta, disebabkan oleh prestasi pengunderaitan dan pengurusan kos yang lebih baik.

Labuan IBFC adalah pasaran kaptif kedua terbesar di Asia dengan 52 kaptif beroperasi di pusat itu.

Semakin banyak syarikat Asia yang mengamalkan penggunaan kaptif sebagai pengurusan risiko alternatif.

Labuan IBFC akan terus memanfaatkan potensi ini dengan struktur kaptif yang sesuai, dengan disokong oleh kumpulan perantara serta penanggung insurans yang mantap.

Ia juga akan terus menarik pemula perkhidmatan kewangan digital (DFS), yang mana, sejumlah 28 lesen baharu telah diluluskan.

Laporan itu juga menyatakan Labuan IBFC mempunyai sejumlah 34 DFS yang menyediakan perkhidmatan berasaskan digital termasuk teknologi insurans, perkhidmatan pembayaran dan pertukaran mata wang asing digital.

Perniagaan pengurusan kekayaan Labuan pula terus merekodkan peningkatan sebanyak 36.8 peratus dalam pendaftaran asas baharu, menjadikan jumlah asas yang aktif kepada 192 dengan majoriti adalah syarikat khusus bagi pengurusan kekayaan peribadi.

Walaupun 2019 telah menjadi tahun pertumbuhan yang berterusan untuk Labuan IBFC, laporan itu juga menjangkakan 2020 akan menampilkan cabaran getir akibat impak daripada pandemik COVID-19 termasuk kesan kejatuhan harga minyak.