LABUAN FSA YAKIN LABUAN IBFC CATAT PERTUMBUHAN BERTERUSAN

LABUAN: Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) yakin bahawa Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) akan terus kukuh serta mencatatkan pengembangan di rantau ini.

Ini mampu diraih berdasarkan kepada ketangkasan perniagaannya, ditambah dengan keupayaan dan kemampuan yang mantap, yang membolehkan mereka merealisasikan strategi serta pada masa yang sama menyesuaikan diri dengan norma perniagaan yang baharu.

FSA Labuan akan terus memantau keadaan bagi memastikan operasi perniagaan IBFC termasuk penyampaian perkhidmatannya kekal tidak terganggu, menurut Laporan Pasaran Labuan IBFC 2019.

Memandangkan wujud ketidakpastian dalam persekitaran perniagaan antarabangsa, Labuan FSA telah memantau rapat keadaan dan mengambil langkah pencegahan bagi mengekalkan kestabilan serta kemampanan industri.

Menurut laporan itu lagi, satu set peraturan sokongan, yang memberikan kelonggaran pentadbiran dan bantuan kewangan, telah diberikan kepada entiti Labuan untuk mengurangkan kesan serta gangguan kepada operasi perniagaan yang timbul daripada pandemik COVID-19.

Bantuan yang lebih lanjut akan dipertimbangkan berdasar kepada keadaan termasuk respons daripada peserta industri.

Dalam masa yang mencabar ini, entiti-entiti Labuan seperti institusi kewangan, yang beroperasi di beberapa pasaran di rantau Asia terus mampu menyediakan perkhidmatan dan fasiliti perniagaan kepada pelanggan mereka.

Sementara itu, Labuan IBFC telah memasuki dekad ketiga operasinya sejak 1990, seperti yang diumumkan oleh laporan tersebut.

Ulang tahun ke-30 ini, menandakan kejayaan perjalanan Labuan IBFC serta permulaan penting ke arah hala tuju baharu untuk fasa pembangunan dan perkembangan seterusnya.

Pada 2019, salah satu momen yang paling bersejarah Labuan IBFC adalah pelancaran rangka kerja cukai yang baharu, ini telah mengubah landskap perniagaan pusat itu.

Ciri utama rangka kerja ini termasuk pemindahan pilihan cukai sebanyak RM20,000, penyingkiran elemen perlindungan jaminan lingkaran dan pengenalan “substance requirements”.

Pengenalan “substance requirements” ini akan meningkatkan lagi sumbangan peserta pasaran Labuan IBFC ke arah pertumbuhan ekonomi pulau itu dengan meningkatkan kehadiran perniagaan mereka.