Labuan Dapat Peruntukan RM760,000 Untuk Ubah Suai, Selenggara Infrastruktur Dan Kemudahan Pelancongan

LABUAN: Labuan telah menerima peruntukan berjumlah RM760,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pengubahsuaian dan baik pulih infrastruktur serta kemudahan pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (LC) Dr Fary Akmal Osman berkata sebanyak RM120,000 akan dibelanjakan untuk projek pembangunan kecil termasuk menggantikan poster pelancongan yang berusia lima tahun dan lukisan mural di Lapangan Terbang Labuan.

“Kami akan menggunakan sepenuhnya dana daripada MOTAC bagi melakukan kerja-kerja pengubahsuaian infrastruktur dan kemudahan pelancongan di sini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Labuan hari ini.

Beliau berkata baki sebanyak RM640,000 adalah bagi kerja-kerja menaik taraf tiga infrastruktur pelancongan iaitu Anjung Budaya, Muzium Marin dan lokasi melihat matahari terbenam di Selera Manikar.

“Anjung Budaya perlu dinaik taraf kerana kita menggunakan bangunan itu untuk pelbagai acara kebudayaan, begitu juga dengan Muzium Marin yang mana pendawaian pendingin udara dan elektrik dalam bangunan itu perlu diganti serta diperbaiki… struktur di Selera Manikar juga perlu diubah suai.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk memulihkan sektor pelancongan domestik selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19, fokus kami kini ialah memulihkan aktiviti ekonomi menerusi pelancongan serta industri kecil dan sederhana,” katanya.