Labuan Catat 132 Kes Jenayah Sejak Januari Hingga 2 Dis

LABUAN: Kes jenayah di Labuan mencatatkan 132 kes sejak Januari hingga 2 Dis lepas, kata Ketua Polis Daerah Labuan Supt Ahmad Jawila.

Beliau berkata jenayah kekerasan mencatatkan 14 kes manakala 118 kes melibatkan jenayah harta benda.

“Keseluruhannya sebanyak 161 kes jenayah dicatatkan di Labuan sepanjang tahun lepas.

“Kes yang dicatat setakat ini (Januari hingga 2 Dis) menunjukkan petanda bahawa masyarakat menyedari kepentingan pencegahan jenayah dan ini kita lihat banyak disumbangkan melalui program komuniti kepolisan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ahmad berkata Kampung Sungai Labu diisytiharkan sebagai kampung contoh apabila mencatatkan sifar kes jenayah setakat ini berbanding empat kes tahun lepas.

Beliau dalam pada itu turut mengingatkan masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam memerangi COVID-19 dengan kemunculan varian baharu Omicron.

Katanya sebanyak 13 pasukan pemantau melaksanakan operasi pematuhan Op COVID-19 di seluruh Labuan dan kompaun akan dikeluarkan kepada mereka yang ingkar serta tidak mematuhi SOP. – Bernama