Labuan Berpotensi Jadi Pelabuhan Pemindahan

91

LABUAN: Pelabuhan kontena, Labuan Liberty Wharf mempunyai potensi untuk menjadi hab pemindahan kapal bagi beras dan lain-lain komoditi negara berikutan lokasi yang strategik dan kedalaman air yang semulajadi.

Untuk merealisasikan potensi ini, pelabuhan mesti dioptimumkan dan dilengkapi dengan polisi yang sewajarnya bagi membolehkan ia dikawal selia dengan lancar.

Bernama melaporkan dalam newsportalnya memetik Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook sebagai berkata bagi membolehkan pelabuhan Labuan menjadi sebuah hab pemindahan, ia mestilah mampu mengendalikan kargo berkontena dan aktiviti pemindahan kargo pukal.

“Saya tahu pelabuhan Labuan telah lama mengendalikan aktiviti pemindahan dan saya dapat melihat potensi itu tetapi ia perlu dibangunkan dengan kemudahan asas dan dilengkapkan dengan peraturan-peraturan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai operasi pelabuhan dengan Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) dan cadangan tarif pelabuhan baharu oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA).

Katanya, LPA sebagai badan kawal selia pelabuhan akan mengadakan perbincangan strategik pelan jangka panjang pelabuhan dan peralihannya kepada hab pemindahan.

“Perbincangan juga akan menyentuh jika Labuan memerlukan sebuah pelabuhan baharu… kami akan biarkan mereka (LPA) untuk memberi input dan datang dengan cadangan sebelum sebarang keputusan boleh dibuat di peringkat kementerian,” katanya lagi.

Loke mendedahkan pelabuhan kontena itu akan mempunyai tarif baharu yang dikawal selia oleh LPA.

“Sebagai pelabuhan yang selama bertahun-tahun melaksanakan tarif tidak dikawal, kadar tarif baharu ini adalah setanding dengan bahagian-bahagian lain yang akan digazetkan dan dilaksanakan pada awal tahun depan yang seterusnya akan membantu memantau harga barangan di pulau itu.

“Adalah menjadi harapan saya sebagai Menteri Pengangkutan bagi menyokong pembangunan pelabuhan Labuan sepenuhnya terutama dalam usaha-usaha LPA untuk menggunakan sepenuhnya kelebihan dan kepentingan strategik pelabuhan Labuan,” katanya.

Kementeriannya juga sedang melihat kepada pembangunan pelabuhan itu sepenuhnya bagi membantu menjana ekonomi di Labuan dan mengembalikan zaman kemuncaknya sebagai sebuah pulau bebas cukai.

Walaupun saiz semasa pelabuhan adalah sangat terhad untuk pembangunan, perkembangan baharu yang berlaku akan membantu mengubah wajah pelabuhan.

“Kami telah menerima cadangan pembangunan jangka pendek (melalui permohonan untuk cadangan tender terbuka) daripada peneraju termasuk daripada operator pelabuhan sedia ada seperti LLPM mengenai perkara-perkara wajar dibuat ke atas pelabuhan…bagaimanapun, kita (kementerian dan LPA) perlu bekerjasama dengan pengendali pelabuhan akan datang untuk rancangan pembangunan jangka panjang,” katanya.

Kekurangan pembangunan semasa dan kemudahan-kemudahan di pelabuhan itu berpunca daripada LLPM yang hanya diberi kontrak berdasarkan bulan ke bulan untuk mengendalikan pelabuhan.

“Sekarang ini, operator pelabuhan beroperasi dari bulan ke bulan… tidak ada pihak swasta yang akan menyuntik wang mereka (untuk membangunkan kemudahan pelabuhan) jika mereka hanya mempunyai perjanjian secara bulanan,” katanya.

Kontrak secara bulanan ini tidak menjamin sebarang pulangan maksimum bagi setiap pelaburan yang dibuat disebabkan tempoh yang agak pendek dan tidak terjamin.

Kementerian tidak akan campur tangan kerana adalah menjadi keutamaan LPA dan ahli lembaga pengarahnya untuk meneliti setiap cadangan mengenai ‘Apakah terbaik untuk pelabuhan Labuan’.

Beliau menegaskan pelantikan operator yang sah akan dibuat sebelum akhir tahun.

“Sebaik sahaja kita mempunyai operator yang dilantik, pelaburan akan mula masuk bagi mempertingkatkan infrastruktur pelabuhan, operator pelabuhan sedia ada memberitahu saya, mereka juga mahukan kepastian, dan bukan semata-mata melaksanakan operasi yang diperbaharui pada setiap bulan,” katanya.

Menteri tersebut sedang melakukan lawatan kerja sehari ke Labuan.