Labuan Akan Dapat Sebuah Lagi Klinik Kesihatan

119

LABUAN: Sebuah klinik kesihatan baharu akan dibina di Kampung Bebuloh di sini bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat di kalangan penduduk kampung itu serta beberapa buah kampung sekitar.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata upacara pecah tanah klinik kesihatan itu akan disempurnakan pada Isnin oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata klinik itu merupakan Klinik Kesihatan ketiga di Labuan setelah Klinik Kesihatan Taman Mutiara, Sungai Bedaun dan Klinik Kesihatan UTC, Pasar Sentral Labuan.

ISMUNI BOHARI

Beliau berkata secara umumnya perkhidmatan penjagaan kesihatan di pulau bebas cukai ini mengalami perubahan positif berikutan pembaharuan pentadbiran yang drastik sejak 2016.

Bilangan pakar yang menyediakan perkhidmatan di pelbagai bidang di Hospital Labuan bertambah tiga hingga sepuluh, sementara di klinik Kesihatan Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan klinik desa (di beberapa buah kampung) beroperasi hampir sepanjang masa dengan kakitangan perubatan yang mencukupi.

Dr Ismuni berkata Hospital Labuan sudah dilengkapi peralatan dan mesin perubatan yang diperlukan seperti pemeriksaan tomografi berkomputer (CT), ultrasound, ambulans tambahan van manakala pembangunan infrastruktur untuk makmal sitotoksik, makmal steril serta mesin katarak bernilai RM500,000 sedang dalam dalam perancangan.

“Pembaharuan dan perancangan sistematik dalam perancangan penjagaan kesihatan Labuan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan secara nasional dan dipandu oleh rangka kerja kebangsaan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata pelan pelaburan utama melalui kertas kerja terperinci yang dikemukakan kepada kementerian, termasuk pembinaan bangunan tambahan di Hospital Labuan dan meningkatkan pakar dan kakitangan perubatan, diikuti pembaharuan, dan ini seiring dengan perancangan Jabatan Kesihatan Labuan menjadikan Hospital Labuan sebagai hospital utama menjelang 2022.

“Dengan meningkatnya bilangan bilangan pesakit dari luar Labuan seperti Miri, Sarawak dan beberapa daerah di Sabah seperti Kuala Penyu, Sipitang, Membakut dan Menumbok menerima rawatan di pusat-pusat perubatan Labuan dan hospital serta klinik kesihatan kerajaan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Labuan akan seiring dengan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada masa akan datang, “katanya.

Dr Ismuni berkata adalah matlamat jabatannya untuk menjadikan Labuan bukan hanya sebagai pusat pakar untuk penduduk Labuan tetapi juga untuk sebahagian Sabah.

“Kami sedang berusaha untuk menyediakan pakar kluster kesihatan dalam pelbagai bidang dan ini akan membantu mengurangkan kesesakan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu,” katanya.

Mengenai denggi Dr Ismuni berkata jumlah kes telah berkurangan dengan ketara kepada 63.4 peratus atau 32 kes berbanding 88 pada 2018 dan 63 kes pada 2017.

“Wabak itu berkurangan daripada 25 pada 2017 kepada hanya satu pada 2019 dan mengekalkan sifar kematian,” kata Dr Ismuni.