Kursus Pengajian di UMS Sandakan Perlu Diperbanyak

66

SANDAKAN: Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, berharap Kementerian Pendidikan akan melihat keperluan menyediakan lebih banyak pengajian ijazah yang menjadi pilihan pelajar di Sandakan.

Ini termasuk di Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sandakan di Hab Pendidikan, Batu 10,disini.

“Sekiranya ia dapat direalisasikan, ia sekaligus membantu menjimatkan kos bagi pelajar kita dan keluarga mereka khasnya lepasan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) disini tanpa perlu pergi jauh melanjutkan pengajian di luar daerah ini,” katanya.

Kos itu termasuk tiket penerbangan selain pelajar juga tidak dapat pulang ke kampung jika kos tiket tinggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Pendidikan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dewan SRK Sung Siew Sandakan pada Ahad.

Hadir sama, Pengurus Besar Pusat Khidmat Pelanggan PTPTN, Mohd Ainal Bin Salsidu.

Secara keseluruhan, seramai 1,986 pelajar seluruh Sabah menerima WPP itu bagi 25 kawasan Parlimen.

Parlimen Sandakan merupakan penerima teramai dengan 245 pelajar diikuti Kota Kinabalu dengan 226 pelajar.

Dalam pada itu, Vivian berkata, pihaknya juga akan terus berusaha agar hasrat itu dapat direalisasikan dengan perbincangan dengan kementerian berkenaan.

Sementara itu, Vivian berharap, pelajar akan memanfaat sepenuhnya pinjaman yang diterima dan belajar dengan sebaiknya.

Beliau juga berharap pelajar dari Sandakan akan berjaya dan membantu keluarga masing-masing serta memacu kemajuan negeri Sabah.

“Universiti adalah gedung ilmu yang berperanan sebagai landasan untuk membentuk dan mengeluarkan graduan yang berkualiti dan bernilai tinggi bagi menjana kecemerlangan dan kegemilangan agama, bangsa dan negara, selaras dengan perananya untuk mendidik dan melahirkan modal insan yang professional, berilmu dan berdaya saing. ” Ujarnya.

“Justeru saya berharap agar pelajar memanfaatkan peluang memasuki universiti, untuk menjadi siswazah yang cemerlang dalam bidang diceburi.” Tambahnya.

Dalam perkembangan lain, ujarnya, beliau bersama pasukannya di Parlimen Sandakan juga sedang dalam rancangan untuk menjalankan lebih banyak program lagi pada masa yang akan datang untuk membantu masyarakat.

Vivian juga mengalu-alukan semua penduduk berjumpa dan berbincang dengan beliau pada bila-bila masa jika mereka mempunyai apa juga cadangan atau menghadapi masalah dan cabaran yang sukar untuk diselesaikan.