Kurang 20 Tandatangan Memorandum Sertai Mana-Mana Pengendali Pelabuhan Baharu

41

LABUAN: Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM), pengendali pelabuhan kontena Labuan menjelaskan bahawa kurang daripada 20 kakitangannya menandatangani memorandum untuk menyertai mana-mana pengendali pelabuhan baharu bagi mengendalikan kemudahan dan operasi terminal, dan bukannya 80 orang seperti yang didakwa. 

Pengurus Besarnya, Abd Ghani Paijan, dalam satu kenyataan juga menafikan kakitangan dipaksa untuk mengadakan piket secara aman pada 13 Jan seperti yang didakwa oleh pengarang memorandum itu.  

“Kami merujuk kepada beberapa artikel berita dan ingin menafikan dakwaan itu,” katanya.

Abd Ghani berkata kandungan kedua-dua artikel itu membayangkan majoriti kakitangan kami menandatangani memorandum tersebut.

“Sebenarnya, kurang daripada 20 kakitangan yang memahami kandungan itu dan menandatanganinya, dan bukan 80 seperti yang didakwa.

“Selain itu, kami juga kecewa, dalam taklimat media oleh pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Labuan pada 19 Jan, (yang mana) beliau mengumumkan penerimaan memorandum tanpa mengesahkan dengan kami kesahihan tuntutan di dalamnya,” katanya. 

Abd Ghani yang menyifatkan kandungan memorandum itu sebagai berniat jahat berkata dakwaan itu sengaja diada-adakan dan bertujuan merosakkan reputasi LLPM. 

“Tindakan kedua-dua bekas kakitangan (bekas penolong operasi dan pengurus logistik dan bekas penyelia kapal) juga adalah satu pelanggaran serius kontrak pekerjaan mereka. Oleh itu, kami telah menamatkan kontrak pekerjaan mereka dengan kami.  

“Kami telah membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menimbang mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua-dua individu itu,” katanya.