Kunjungan Ketua Menteri Beri Makna Besar Kepada Masud

1806

TAWAU: Ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) Haji Masud Salbi terkejut bercampur gembira apabila menerima kunjungan Ketua Menteri merangkap Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal di kediamannya di Kampung Batu Satu Setengah, Jalan Apas, di sini pada Sabtu.

Haji Masud yang merupakan orang pertama membentuk cawangan Warisan di Tawau dimasukkan ke Hospital Tawau baru-baru ini sebelum dibenarkan pulang pada Jumaat lalu.

Mendengar tentang penyakit dihidapi Haji Masud, Mohd Shafie yang menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Adun Sri Tanjung Jimmy Wong meluangkan sedikit masa berkunjung ke rumah Haji Masud sebelum kembali ke Kota Kinabalu.

Haji Masud,78, dimasukkan ke hospital selama empat hari berikutan jangkitan kuman pada paru-paru.

Turut hadir mengunjunginya adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong, Pembantu Menteri Kewangan Sarifudin Hata, Ahli Parlimen Kalabakan Mamun Sulaiman serta Ketua Warisan Bahagian Tawau Frank Salazar dan beberapa penyokong parti lain.