Kundasang Dilanda Gempa Bumi Lemah

RANAU : Satu gempa bumi lemah dengan magnitud 3.1 pada skala Ritcher dilaporkan di daerah Kundasang jam 7.27 pagi tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan mengesahkan, gempa bumi itu dikesan di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur, pada jarak 13 kilometer barat laut Ranau.

Katanya, gegaran pada kedalaman 10 kilometer itu dapat dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau.

“MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua  Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Talib ketika dihubungi berkata, setakat ini bomba tidak menerima sebarang aduan susulan gempa bumi itu.

Bagaimanapun katanya, BBP Ranau akan terus memantau di sekitar kawasan Pekan Kundasang dan Ranau.

“Setakat ini keadaan terkawal dan hasil laporan pasukan bomba yang memantau, tiada kerosakan bangunan dilaporkan,” katanya.