Kunak Bakal Wujud Tapak Pelupusan Sampah Bersepadu

108

KUNAK: Tapak pelupusan sampah bersepadu yang menggunakan sistem teknologi hijau di kawasan seluas 40 hektar bakal dibangunkan di Kunak, kata Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Beliau berkata penggunaan tapak pelupusan sampah atau sisa pepejal itu diselaraskan untuk Semporna dan Lahad Datu, selain Kunak.

“Kita sudah berjaya mendapatkan peruntukan untuk tapak pelupusan sampah yang bernilai lebih RM67 juta. Difahamkan tapak pelupusan bersepadu ini antara yang terbesar dibangunkan di Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Menurut Norazlinah, ketika ini proses pembenaran sedang berjalan di samping isu tapak untuk pelupusan sampah turut dalam pemerhatian.

“Pegawai Daerah Kunak (Juraimin Jadil), selain wakil daripada Majlis Daerah Kunak sudah melakukan tinjauan tapak, iaitu di suatu lokasi di sekitar kawasan Madai.

“Sekiranya perancangan pengurusan sisa pepejal dan sampah ini berjalan lancar, kita akan melihat projek bermula pada tahun hadapan,” katanya dan menambah tapak itu akan dikendalikan oleh Majlis Daerah Kunak.

Dalam pada itu, Norazlinah berkata projek itu bukan sahaja dapat menyelesaikan isu sampah yang pada masa ini kedudukannya tidak sesuai kerana berdekatan dengan kawasan kampung, malah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong berkata penggunaan kaedah teknologi hijau dalam pengurusan sampah membolehkan sisa pepejal mampu dijadikan sumber pendapatan.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah berkata jika pengurusan sampah tidak dilakukan dengan baik, ianya mampu memudaratkan alam sekitar dan kesihatan manusia.

“Barangan buangan seperti plastik, kertas serta bahan lain boleh dikitar semula untuk menjana pendapatan. Kini konsep kaedah urus sampah digunakan dan istilah membuang sampah tidak lagi relevan,” katanya.

Menurutnya lagi, Sabah memiliki alam persekitaran yang menarik sehingga membawa kemasukan berjuta pelancong setahun dan keindahannya perlu dikekalkan.