KUMPULAN PERTAMA PELAJAR MARTIKULASI LABUAN PULANG HARI INI

LABUAN: Kumpulan pertama 47 pelajar Kolej Martikulasi Labuan (KML) telah bergerak pulang ke rumah masing-masing di Limbang dan Lawas di Sarawak hari ini, melalui Terminal Feri Antarabangsa Labuan, bermula hari ini.

Pelajar terbabit tiba di terminal tersebut kira-kira jam 8 pagi menaiki dua buah bas dan kemudiannya menjalani ujian saringan suhu oleh pegawai kesihatan Limbang sebelum menaiki feri yang ditempah khas untuk perjalanan dua jam ke Limbang.

47 pelajar terbabit merupakan antara 2,341 pelajar KML yang telah menjalani ujian swab dan saringan kesihatan pada 29 April, sebelum mereka dibenarkan untuk pulang ke kampung halaman mereka di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia mengikut kumpulan, sehingga minggu hadapan.

Kesemua pelajar terbabit akan menjalani kuarantin di Hotel Purnama apabila tiba di Limbang hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata, kumpulan kedua pelajar dari Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), KML dan Institut Latihan Industri (ILI) yang berasal dari beberapa tempat di Sabah akan bergerak pulang pada Isnin dan Selasa menaiki bas disewa khas dan feri.

“Kita perlu untuk mendapatkan senarai pelajar yang tinggal di destinasi yang sama atau berhampiran dan kami akan tempatkan mereka dalam satu bas dan bergerak dalam hari yang sama, jadi kita boleh jimatkan masa dan kos,” katanya kepada media sebelum menyaksikan pergerakan pelajar terbabik di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

Beliau mendedahkan lebih 40 pelajar dari Labuan ketika ini belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan pulang ke pulau ini pada 13 Mei, manakala jumlah pelajar yang masih terkandas di Semenanjung, masih belum dapat dipastikan.

“Apabila tiba di sini, kesemua pelajar terbabit akan di saring dan mereka yang menunjukkan gejala seperti demam, selsema, sukar bernafas, sakit tekak dan batuk akan di kuarantinkan di pusat kuarantin dan mereka yang tidak mempunyai simptom akan diminta untuk kuarantin kendiri di rumah,” kata Dr Fary.