Kumpulan Pertama B40 Raih Ijazah di Pentas Konvokesyen UMS Ke-18

Terima kasih UMS... (dari kiri) Anistasia, Saibie dan Riohelvia gembira atas peluang dan kejayaan menamatkan pengajian ijazah masing-masing.
Terima kasih UMS… (dari kiri) Anistasia, Saibie dan Riohelvia gembira atas peluang dan kejayaan menamatkan pengajian ijazah masing-masing.

LAPORAN KHAS: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-18 melakar sejarah tersendiri apabila kumpulan pertama pelajar di bawah Pelaksanaan Mekanisme Mod Kemasukan Baharu bagi isi rumah 40% terendah turut bersama-sama diraikan dalam upacara berprestij ini.

Seramai 67 pelajar daripada golongan kurang berkemampuan berjaya menamatkan pengajian sekali gus memberi cahaya kegembiraan kepada keluarga masing-masing yang tersenyum dengan titisan air mata kesyukuran ketika meyaksikan kejayaan anak-anak di pentas konvokesyen di Dewan Canselor.

Bagaikan kaca jatuh ke lantai, retak seribu berkecai-kecai, demikianlah harapan mereka punah di sebalik impian menggunung ketika semakan permohonan memaparkan ‘dukacita’ di skrin komputer tiga tahun yang lalu.

tupper2

Di saat kekecewaan yang ditanggung kian terasa jauh mengulit hati, UMS hadir memberi kejutan dengan memberi surat tawaran atas tiket tanggungjawab sosial korporat (CSR) sekali gus menyalakan sinar harapan dan membakar semula tekad perjuangan usaha mengubah nasib keluarga.

Bagi Anistasia Lusius, tiada yang mampu diungkapkan selain ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada UMS atas segala peluang yang diberikan.

Menyingkap semula detik mendapat kejutan daripada rombongan universiti yang datang menyampaikan surat tawaran, beliau berkata lidahnya seakan kelu kerana terlalu gembira dan terkejut kerana ia amat tidak disangka-sangka.

“Pada ketika itu juga, saya menanam tekad untuk menggunakan peluang yang diberikan dengan belajar bersungguh-sungguh demi membawa perubahan kepada nasib diri dan keluarga,” katanya penuh semangat.

Menyifatkan dirinya agak bertuah, beliau melahirkan rasa amat bersyukur kerana telah ditawarkan dalam Program Keusahawanan di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), yang dilihat mampu menjadi batu loncatan dalam membantu meningkatkan pendapatan ibu bapanya yang bergantung penuh terhadap jualan hasil tanaman secara kecil-kecilan.

“Melalui pengajian di dalam Program Keusahawan ini, ia banyak memberi pendedahan dan ilmu yang sangat relevan dengan latar belakang kehidupan keluarga saya sekali gus menimbulkan pelbagai rancangan dan idea ke arah penambahbaikan kehidupan kami secara berperingkat-peringkat.

“Saya akan mengaplikasikan semua yang dipelajari bagi meningkatkan pendapatan keluarga yang kini saya lihat mempunyai potensi yang tinggi,” katanya yang berasal dari Kota Belud.

Berbeza pula dengan Riohelvia Jenson, graduan Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan ini mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam kerjaya berkaitan dengan bidang kebajikan.

Gadis berasal dari Kampung Tondig, Kota Marudu itu menyatakan, selain usaha membantu meningkatkan taraf hidup keluarga, beliau ingin bekerja dalam bidang kebajikan bagi menabur bakti terhadap golongan susah dan kurang bernasib baik.

“Saya merasa terpanggil untuk membantu golongan yang senasib, dan melalui kelulusan ijazah ini, saya ingin bersama-sama untuk meringankan bebanan mereka,” katanya yang turut mengikuti latihan praktikal selama tiga bulan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Riohelvia turut merakamkan penghargaan atas kebajikan pelajar yang disediakan pihak universiti sepanjang tiga tahun menuntut di UMS.

“Di sini semuanya telah tersedia seperti pengangkutan, penginapan dan pelbagai prasarana lain. Terima kasih kerana sudah memberi peluang untuk kami dari kumpulan pertama pelajar B40 melanjutkan pengajian di UMS,” ujarnya dengan penuh kesyukuran.

Saibie Saiba, seorang lagi graduan B40 turut mengongsikan kisahnya yang hampir putus asa dalam melanjutkan pendidikan tinggi ekoran kesempitan hidup yang dihadapi keluarganya.

Malah ketika mendapat tawaran kemasukan ke UMS, graduan Program Sejarah, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan itu hampir menolak tawaran yang diberikan disebabkan oleh faktor kewangan.

Namun beliau tetap meneruskan tekad walaupun pada mulanya, ibu beliau agak rungsing memandangkan situasi kehidupan mereka yang serba kekurangan pada ketika itu apatah lagi ayahnya juga sudah meninggal dunia sejak Saibie berumur 16 tahun lagi.

Di UMS, beliau aktif dalam aktiviti kesukarelawan dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh universiti.

“UMS telah memberikan pelbagai pengalaman dan erti kehidupan kepada saya. Banyak perkara yang telah dipelajari terutama dalam kemahiran insaniah dan kepimpinan menjadikan saya lebih matang untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan cabaran,” katanya yang pernah mewakili UMS untuk misi sukarelawan bersama Yayasan Sukarelawan Siswa di Vietnam.

“Jika arwah bapa saya masih hidup, saya pasti dia sangat gembira melihat pencapaian ini kerana dialah yang selalu berpesan kepada kami agar sentiasa berusaha melanjutkan pendidikan sekiranya mempunyai peluang dan kesempatan,” ujar Saibie dengan penuh emosi.

Selain Kota Marudu dan Kota Belud, kumpulan pertama B40 yang bergraduat pada majlis konvokesyen kali ini juga terdiri daripada graduan yang berasal dari daerah Tamparuli, Papar, Tawau, Ranau, Tenom, Kudat, Beaufort, Kinabatangan, Kuala Penyu, Keningau Semporna, Sipitang dan Kunak.