Kumpulan Pelajar Pertama Akan Dihantar Ke Universiti Luar Negara Tahun Ini

748
Yusof (dua kanan) bersama Pengetua Cemerlang SMK Tansau Siti Salmiah Samaie (dua kiri) semasa simbolik Program Pelancaran Transformasi Sekolah Kohot ketiga, di sini pada Selasa

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Kementerian Pelajaran dan Inovasi menyasarkan untuk menghantar 20 pelajar cemerlang dari Sabah bagi melanjutkan pengajian ke universiti ternama di luar negara bermula tahun ini.

Menterinya, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kumpulan pertama yang terpilih itu sebahagiannya mungkin perlu menjalani latihan persediaan sebelum dihantar ke mana-mana 20 universiti ternama di dunia.

Langkah ini diambil selaras dengan usaha Ketua Menteri Sabah dalam melihat anak-anak Sabah mencipta kejayaan cemerlang di luar negara.

”Apabila anak-anak ini tamat pengajian mereka mampu menjadi pemikir bagi rancangan pembangunan Sabah mahupun bekerja di syarikat konglomerat besar dunia.

”Mereka ini akan bertindak sebagai penghubung antara Kerajaan Sabah dan syarikat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kualiti 2018 dan Pelancaran Program Transfomasi Sekolah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini pada Selasa.

Katanya, beliau menerusi satu agensi dibawah kementeriannya akan mengenalpasti dan menyenarai pendek senarai pelajar cemerlang yang menepati syarat dan kualiti yang ditetapkan.

”Tawaran ini terbuka kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sekolah Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

”Kementerian dan agensi tertentu akan bekerjasama. Pelajar cemerlang terpilih ini mungkin terus mengambil program A-Level mahupun terus masuk ke universiti.

”Namun, keutamaan akan diberikan kepada pelajar dari golongan B40 yang cemerlang,” jelasnya.

Menurutnya, melalui langkah sebegitu tidak mustahil suatu hari nanti ada anak Sabah yang memegang jawatan tertinggi dalam syarikat antarbangsa mahupun Bank Dunia.

Sementara itu, bagi pelajar kurang cemerlang pula, kerajaan akan menawarkan tempat di institusi latihan kemahiran bagi membolehkan mereka dilengkapi dengan kemahiran untuk memasuki pasaran pekerjaan yang kini ke arah perindustrian.

Usaha-usaha sebegini akan membantu anak-anak keluarga miskin membawa keluarga mereka keluar daripada kelompok miskin tegar.

Yusof turut menyarankan guru-guru supaya membantu menyediakan pelajar dengan penguasaan ilmu Bahasa Inggeris dalam memastikan mereka mampu bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.

Dalam masa yang sama, kementerian itu bersama dengan Jabatan Pendidikan Negeri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Institusi Pengajian Tinggi serta syarikat-syarikat ternama akan bekerjasama bagi meningkatkan kualiti pelajar melalui penyediaan kemudahan infrastruktur yang baik.