Kumpulan KFR Filipina Culik Dua Nelayan Indonesia Di Pulau Gaya

1254
Shafie Apdal, dua kiri, bersama Mufti Sabah Datuk Bongsu Aziz Jaafar, kiri, dan Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar, empat kiri, mengiringi Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin ketika tiba di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1440H/2018 pada Selasa di Kota Kinabalu.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Keselamatan perairan negeri Sabah dibolosi sekali lagi apabila satu lagi kes penculikan dilaporkan berlaku di Pulau Gaya, Semporna awal pagi Selasa.

Kes penculikan yang membabitkan nelayan warga Indonesia itu berlaku antara 12 tengah malam hingga 1 pagi.

Susulan itu, Kerajaan Negeri Sabah menyatakan kesanggupan membantu negara jiran (Indonesia) dalam memastikan nyawa mangsa culik itu akan dilindungi.

“Apa sahaja tindakan yang diambil, nyawa harus dilindungi tidak kira siapa pun mereka. Apatah lagi mereka ditangkap di kawasan perairan kita dan adalah menjadi tanggungjawab kita membantu negara jiran kita,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Sambutan Maal Hijrah 1400H/2018 peringkat Negeri Sabah, di Wisma Muis, di sini pada Selasa.

Menurutnya, beliau juga akan meminta tindakan susulan diambil.

“Walaupun yang diculik itu rakyat Indonesia, kita akan membantu sedaya upaya kita memperketatkan dari segi rondaan dan maklumat risikan yang diperolehi. Ia bagi memastikan tindakan susulan dapat kita ambil bukan hanya untuk melindungi rakyat kita tetapi juga mereka yang datang ke mari,” jelasnya.

Shafie, yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika ditanya ketika ditanya tentang kes penculikan terbaharu di Pulau Gaya, Semporna awal pagi Selasa.

Sementara itu, Pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah ketika mengesahkan kejadian penculikan itu memaklumkan, kejadian itu berkemungkinan dilakukan oleh kumpulan penculik untuk tebusan (KFR).

Dalam kejadian itu, dua nelayan warga Indonesia telah diculik di perairan Pulau Gaya, Semporna antara jam 12 tengah malam hingga 1 pagi Selasa.

Katanya, kes itu disyaki dilakukan oleh kumpulan KFR namun, setakat ini belum ada permintaan dibuat oleh mana-mana pihak untuk meminta wang tebusan.

Omar Mammah ditemuramah oleh media di Wisma MUIS.

Omar berkata, kes penculikan itu dilakukan dua lelaki yang dipercayai bersenjatakan senapang M16 yang didakwa memakai pakaian gelap dan bertopeng.

“Ini melibatkan dua orang suspek dipercayai menggunakan senjata jenis M16 dan dua nelayan yang menaiki sebuah bot diculik oleh suspek tersebut dan dibawa ke satu tempat yang sehingga sekarang tidak dikenalpasti dimana,” katanya.

Omar berkata, penculikan berlaku ketika bot yang dinaiki empat nelayan warga Indonesia itu sedang menangkap ikan di kawasan tersebut. Bagaimanapun, dua daripada empat nelayan itu berjaya menyelamatkan diri apabila mereka bersembunyi di bawah bahagian hadapan bot berkenaan.

Mangsa yang diculik dikenali sebagai Samsul Saguni berusia 40an dan Usman Yunus,35.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kes penculikan itu sekitar 2 pagi dan terus mengarahkan anggota keselamatan membuat pemeriksaan di kawasan kejadian.

Ditanya tentang kemungkinan kumpulan penculik itu adalah kumpulan Abu Sayayf, Omar berkata, pihaknya tidak pasti mengenai itu kerana siasatan masih dijalankan.

Pihak polis masih menjalankan siasatan mengenai kes penculikan tersebut. Ia adalah kes pertama yang berlaku pada tahun ini.

Kes penculikan KFR terakhir berlaku di Pantai Timur Sabah adalah pada 18 Julai 2016 yang mana, ia melibatkan penculikan lima kru kapal tunda di perairan Lahad Datu.

Seiring dengan itu, pihak polis juga akan memaklumkan tentang insiden penculikan itu serta perkembangan kes berkenaan kepada konsulat dan juga agensi penguatkuasaan Indonesia.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api & Penalti lebih berat 1971.