Kuih Makmur Aneka Perisa, Air Tangan Pasangan OKU Dari Sabah

TUARAN: Kuih makmur yang sering menjadi pilihan ramai ketika sambutan Aidilfitri kini mendapat sentuhan segar daripada pasangan suami isteri Orang Kurang Upaya (OKU) yang mencipta kuih makmur dengan pelbagai perisa.

Izyani Hayati Abbas, 37, dan suaminya Erman Juani, 38, masing-masing lumpuh kedua-dua kaki, telah mengusahakan perniagaan kuih makmur jenama Makemore Marvelous dengan empat perisa utama iaitu coklat, kopi, susu dan susu bijirin sejak lima tahun lepas.

Izyani Hayati berkata beliau mempelajari cara membuat kuih makmur perisa tradisional daripada arwah ibunya dan kemudian mencuba sendiri menghasilkan pelbagai perisa bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Dengan menggunakan tagline My Mom’s Best Cookies sebagai penghormatan kepada arwah ibunya, beliau berkata setiap kali tiba musim perayaan seperti Aidilfitri, kira-kira 80 balang kuih makmur ditempah oleh pelanggan dengan harga jualan RM20 sebalang.

“Pandemik (COVID-19) tahun lepas permintaan tidak banyaklah sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)…hari-hari biasa kakak buat berdasarkan tempahan, tetapi (Hari Raya) tahun ini kakak tidak buka tempahan besar-besaran, hanya untuk rakan-rakan terdekat dan saudara-mara sahaja sebab sibuk.

“Kakak ada kerja tetap, jadi masa untuk menyediakan kuih-kuih ini kakak hadkan Sabtu dan Ahad sahaja, tempahan itu kakak buat sikit sahaja tahun ini dalam 60 balang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Kingston di sini hari ini.

Izyani Hayati berkata status OKU memberi cabaran dan kekangan yang tersendiri namun ia langsung tidak melemahkan semangat beliau dan suaminya untuk terus maju dalam perniagaan.

“Ada juga cabaran di sana sini tetapi lama-lama sudah biasa dan tahu cara terbaik melakukan kerja untuk berniaga ini, tiada masalah besar,” katanya yang bergerak menggunakan kerusi roda.

Ditanya mengenai perancangan jangka panjang dalam perniagaan kuih makmur, Izyani Hayati berharap perniagaannya terus maju hingga menembusi pasaran seluruh Sabah serta Semenanjung, selain mempelbagaikan lagi perisa kuih makmurnya itu.

Sementara itu, Erman yang berkahwin dengan Izyani Hayati pada 2018 berkata beliau menguruskan pembelian bahan mentah untuk perniagaan selain membantu isterinya menyangai atau menggoreng tanpa minyak bahan seperti tepung dan kacang.

“Tempahan hanya dibuat melalui penghantaran terus atau ambil sendiri di sini tetapi kami merancang untuk memasarkan produk kuih makmur ini di platform dalam talian agar ia boleh dinikmati pelanggan di seluruh negara,” katanya.