Kudat Julang Piala Menteri Belia & Sukan

93
Alipudin (belakang empat kanan) dan Rezwan (belakang dua kiri) mengiring Dr. Tan (belakang lima kiri) menyampaikan Piala Menteri Belia & Sukan Sabah kepada pasukan Kudat selepas menjuarai Kejohanan Bola Tampar Bawah 20 Tahun.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Pasukan Kudat menjuarai Kejohanan Bola Tampar Bawah 20 Tahun Piala Menteri Belia dan Sukan Sabah 2019 yang berakhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Sandakan pada Ahad.

Pasukan Kudat bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasukan Semporna dalam perlawanan akhir yang sengit dan berkesudahan dengan 25-19, 21-25, 20-25, 25-18 dan 15-11 mata.

Tempat ketiga disandang oleh pasukan Beluran selepas mengalahkan pasukan tuan rumah Sandakan menerusi set terus yang berkesudahan 25-23 dan 25-20 mata.

Dalam aksi separuh akhir, pasukan Kudat mengenepikan pasukan Sandakan menerusi keputusan
25-18 dan 25-22 mata, manakala pasukan Semporna menundukkan pasukan Beluran menerusi set tambahan berkesudahan 25-21, 19-25 dan 15-7 mata.

Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Tze dalam ucapan perasmian berkata, pertandingan seumpama itu baik dalam usaha menarik penglibatan belia dari seluruh Sabah dalam aktiviti yang sihat.

“Usaha seperti ini sudah tentu mampu melahirkan pemain berkaliber yang dapat membawa cabaran Sabah ke kejohanan kebangsaan,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Pegawai Perhubungan Parlimen Sandakan Amsi Liew.

“Saya dimaklumkan bahawa kejohanan ini merupakan persediaan daerah-daerah untuk menghadapi Sukan Sabah (SAGA) yang akan berlangsung di Keningau pada November depan.

“Dalam masa yang sama, program seperti ini merupakan wadah untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan belia kita. Pendedahan seperti ini perlu dilaksanakan berterusan supaya impaknya nanti dikecapi dan seterusnya dapat meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup masyarakat,” kata Phoong.

Beliau juga menyokong penuh penganjuran program-program seperti ini dan seharusnya mendapat penyertaan semaksima yang mungkin dari semua daerah. Ia kerana program yang dianjurkan bukan sahaja menguji kekuatan mental dan fizikal, malah dapat memupuk sifat kerjasama, selari dengan usaha kita memartabatkan sukan bola tampar.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar Persatuan Bola Tampar Negeri Sabah (PBTNS) dapat meneruskan lebih banyak aktiviti-aktiviti sebegini untuk membentuk satu pasukan negeri yang kuat dan mampu memenangi pingat di kebangsaan,” ujarnya.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) Dr. K.H. Tan dengan disaksikan oleh Yang DiPertua PBTNS Datuk Alipudin Puyon dan Penolong Pegawai Pembangunan Sukan, Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah Mohd Rezwan Osman serta ahli majlis tertinggi persatuan.