Kubur Digali Semula, Mangsa Letupan Bom Ikan Ditemukan

SEMPORNA: Mayat mangsa yang dipercayai maut akibat letupan bom ikan ditemukan di Tanah Perkuburan Kampung Halo pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Abdullah berkata, penemuan kuburan itu hasil daripada siasatan yang dijalankan terhadap seorang tahanan.

Berdasarkan maklumat diberikan, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Daerah Semporna telah pergi ke lokasi penemuan.

Setelah mendapatkan perintah mahkamah maka, proses menggali semula kubur telah dibuat di Tanah Perkuburan Kampung Halo, Semporna oleh pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, pasukan siasatan BSJ IPD Semporna, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasukan perubatan Hospital Semporna.

“Kemudian mayat dibawa ke Bilik Mayat Hospital Semporna untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Simati merupakan seorang lelaki warga asing dipercayai berumur lebih kurang 10 tahun berdasarkan keadaan fizikal mayat yang dijumpai,” katanya dalam satu malam tadi.

Sebelum ini, satu kejadian letupan bot pam dilaporkan pada 11 Januari di perairan Pulau Tatagan namun, mangsa serta bot tidak dapat dikesan.

Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Kini, pihaknya sedang giat mengesan bapa kandung simati yang dikenali dengan nama Astari bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat atau membuat laporan polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti pengeboman ikan di daerah ini.

Aktiviti pengeboman ikan adalah merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sebarang maklumat berkaitan individu bapa simati boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Muhammad Nur Faez Hazreeq Abdullah di talian 0198139851/089782020.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah melaporkan bangkai bot yang terbabit dalam letupan pada Selasa berjaya ditemukan oleh pihak polis dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan bermula kelmarin.