KUARTERS KAKITANGAN KESIHATAN LABUAN BERNILAI LEBIH RM27 JUTA SIAP 2023

LABUAN: Kuarters kakitangan penjagaan kesihatan Labuan berharga RM27.51 juta akan mula dibina tahun ini dan dijadualkan siap pada 2023.

Projek di kawasan berkeluasan 3.24 hektar di Membedai, Jalan Tanjung Teras, terletak dalam pekarangan kuarters Jabatan Kesihatan Labuan akan menyediakan persekitaran kediaman yang lebih kondusif bagi pekerja penjagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kerajaan prihatin terhadap keperluan barisan hadapan untuk mempunyai kediaman berhampiran tempat kerja mereka.

Projek itu terdiri daripada empat unit rumah berkembar kelas D, satu blok pangsapuri lima tingkat dengan 18 unit (Blok F) dan satu blok pangsapuri lima tingkat dengan 16 unit (Blok G).

“Kementerian menyedari peranan Jabatan Kesihatan Labuan untuk menangani masalah kesihatan dan para pegawainya yang komited dalam memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih baik kepada orang ramai selaras dengan moto ‘Merakyatkan Perkhidmatan Kesihatan di Labuan’,” katanya ketika majlis pecah tanah projek tersebut di Membedai hari ini.

Adham dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Labuan, yang pertama sejak dilantik menerajui kementerian itu pada 9 Mac.

Dalam lawatan ke unit kecemasan dan trauma serta pusat hemodialisis Hospital Labuan, beliau turut meluluskan pembelian mesin hemodialisis dan mesin pengimbas bunyi untuk hospital berkenaan, masing-masing berharga RM70,000 dan RM90,000.

Terdahulu beliau menghadiri taklimat mengenai Program Pengurangan Risiko Daerah (DRRP) COVID-19 dan kesiapsiagaan pasukan penjagaan kesihatan Labuan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang diketuai pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

Labuan mencatatkan 17 kes COVID-19 dan tiada kes baharu sejak 6 Jun.