
Oleh EZALL ROHAIZAD
KINABATANGAN: Mundur dari segi ekonomi, penduduk di persisiran pantai Kinabatangan masih dahagakan pembangunan.
Baru-baru ini sebuah misi Parti Warisan Sabah ke Kuala Kinabatangan yang membabitkan perkampungan di sekitar kepulauan terdekat, atas dasar ingin menyelami keluhan masyarakat di sana.
Seorang penduduk pulau di Kampung Sapinong menzahirkan kebimbangan beliau terhadap situasi yang menjejas sumber pendapatan mereka ketika ke laut kerana kemasukan nelayan asing.

Menurut Bahdin Bahrin, nelayan asing dengan sewenangnya menceroboh perairan negara sehingga menyukarkan penduduk tempatan mencari rezeki.
Beliau bimbang situasi itu menggambarkan tahap keselamatan di kawasan itu masih agak longgar sehingga nelayan asing dapat membolosi benteng perairan negara.
“Perlindungan dari pasukan keselamatan maritim dan kerajaan yang dilakukan selama ini tidak membawa banyak perubahan. Kes melibatkan jenayah rentas sempadan masih berlaku,” dakwanya.
Janis Wahab yang merupakan mantan pemimpin kemajuan rakyat pada era Berjaya melahirkan rasa terkejut dan terkilan apabila melihat struktur bangunan balai raya yang didirikan sejak tahun 1981 di perkampungan Bongon tidak pernah di naik taraf.

“Ini menunjukkan BN hanya buat janji tapi tidak dapat menunaikannya. Slogan kerajaan BN iaitu PEDULI RAKYAT tidak seperti yang dilaungkan mereka,” kata beliau.
Misi diketuai oleh Naib Ketua Wira Sabah, Mohd Ismail Hj. Ayub yang berkata: “Satu hari nanti bila ketika diamanahkan tanggungjawab jangan lupa diri, santuni rakyat dengan budi dan jasa, belajar dari kelemahan terhadap apa yang kita nampak dan apa yang rakyat rasa.
“Untuk membina masa hadapan yang lebih baik bukan suatu tugas mudah tapi kita boleh memilih dengan adanya peluang sekiranya kita mahu.
“Tidak mahu seribu dalih, andai mahu seribu daya begitu umpamanya kita dalam perjuangan membawa misi kali ini,” katanya.
Ismail berkata belia generasi sekarang semakin melahirkan rasa ketidakpuasan terhadap situasi semasa negara khususnya di Sabah.
“Kita mengharapkan rakyat terutama golongan belia menyokong dasar dan perancangan Warisan,” katanya.
