Kru Bot Nelayan Dikhuatiri Lemas

KUDAT: Gerakan mencari dan menyelamat seorang kru bot nelayan tempatan dilancarkan pihak berkuasa setelah menerima laporan kehilangan mangsa yang disyaki jatuh laut di perairan Bak-Bak, di sini, petang semalam.

Mangsa, Ardin Juidin, 29 disedari hilang kira-kira 6 petang semalam ketika bot nelayan dinaikinya dalam perjalanan balik ke jeti nelayan Kudat dari perairan Pulau Balambangan setelah selesai menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 9.00 pagi tadi dengan melibatkan aset-aset Maritim Malaysia serta Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

“Bot mangsa dilaporkan keluar dari jeti nelayan Kudat pada jam 5.00 petang semalam menghala ke perairan Pulau Balambangan, Kudat untuk menangkap ikan.

“Tekong hanya menyedari mangsa Ardin bin Juidin, 29, seorang warga tempatan tiada di atas bot setelah satu jam perjalanan dan terus melakukan pencarian, namun gagal ditemui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dilaporkan berada di bawah pengaruh alkohol semasa menaiki bot keluar dari jeti.

Menurut Boon, sebuah bot ronda Zon Maritim Kudat telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pencarian awal sejurus menerima makluman daripada Balai Polis Kudat berkenaan insiden itu.

Pihaknya memohon kerjasama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat atau petunjuk berkaitan kejadian kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 bagi memudahkan usaha pencarian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Isyak Jabas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.40 malam semalam.

Katanya sepasukan anggota dari BBP Kudat dibantu Pasukan Bomba Sukarela Kampung Air, Kudat terbabit dalam gerakan mencari bermula 7.15 pagi tadi dengan jarak pencarian 1 batu nautika dari persisiran pantai.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.