KRT Sabah Sumbang PPE Kepada Petugas Barisan Hadapan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyumbangkan peralatan perlindungan peribadi (PPE) membuktikan masyarakat di Sabah begitu prihatin terhadap pengorbanan petugas barisan hadapan di Sabah.

Hari ini, 19 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) menyampaikan sumbangan PPE yang meliputi 3,674 gaun perubatan, 232 pelindung muka dan 232 penutup kasut kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan di hospital seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya berkata, usaha murni ini dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara Integrasi Nasional (JPNIN) dan dilaksana oleh KRT seluruh Sabah.

Beliau berkata, biarpun terdapat bantuan PPE daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun, sumbangan PPE daripada NGO amat dialu-alukan.

“Ini memberi petanda bahawa kita merupakan sebuah masyarakat yang prihatin terhadap petugas barisan hadapan yang berjuang serta mengorbankan masa dan risiko kesihatan mereka demi menjaga kesihatan rakyat,” katanya kepada media selepas Program Penyerahan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) daripada KRT kepada JKNS, di sini hari ini.

Menyentuh tentang penglibatan sukarelawan, Shahelmy berkata, menyedari sukarelawan mudah terdedah kepada risiko jangkitan pandemik Covid-19, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Kita mengalu-alukan penglibatan NGO. Namun, dalam agihan bakul makanan kita kena sedar bahawa sekarang kita berdepan dengan risiko penyakit berjangkit, bukan seperti bencana alam lain.

“Kita menetapkan SOP dalam agihan bantuan makanan atau bantuan lain secara terus kepada rakyat yang terkesan. Tapi, kita kena lihat ada kategori rakyat yang berisiko tinggi dan berisiko rendah.

“Sekiranya sukarelawan atau NGO bertemu kumpulan sasar ini, secara tidak langsung mereka akan terdedah kepada risiko jangkitan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Sabah merancang menambah lagi 300 KRT menjelang tahun hadapan dan itu akan menjadikan bilangan KRT di negeri ini bertambah kepada 1,366.

Shahelmy berkata, pengwujudan KRT ini penting dalam usaha menjadikan masyarakat di negeri ini aktif dalam melaksana elemen berkaitan perpaduan dan interaksi sesama masyarakat.

Langkah ini akan membantu mencapai matlamat Kementerian Perpaduan Negara untuk mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu menerusi aspirasi Kemakmuran Bersama 2030.