KRT Perlu Berperanan Bantu Promosi Sektor Pelancongan – Poon

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
SANDAKAN: Anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) disaran supaya membantu mempromosikan tempat-tempat menarik di kawasan masing-masing dalam membantu memperkukuh sektor pelancongan Sabah.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon berkata, pengalaman melihat sendiri bagaimana kawasan seperti Kundasang dan Labuan mempromosi destinasi pelancongan dan pertanian mereka seharusnya dimanfaatkan oleh anggota KRT Sandakan.

Jika pengalaman itu dikongsi dan kemudian dikembangkan kepada kaum keluarga yang lain, sektor pelancongan di Sandakan pasti dapat dikembangkan dengan sebaiknya.

Frankie juga mahu anggota KRT memanfaatkan cara-cara pertanian moden di bandar bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan keluarga masing-masing.

Beliau berharap ilmu yang dipelajari termasuk pertanian bandar yang akan diperolehi melalui Program Intergrasi Kembara Ilmu yang dilaksana gabungan empat KRT Sandakan itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Beliau berkata demikian sempena pelepasan rasmi Program Intergrasi Kembara Ilmu Besulam Kasih, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, cara-cara bertani secara moden itu dilihat amat sesuai dengan peserta-peserta yang terdiri daripada penghuni di kawasan bandar.

Frankie berkata, usaha ini akan membantu peserta dalam mengawal dan meningkatkan ekonomi keluarga apabila berlaku kegawatan ekonomi.

Katanya, program kembara sebegitu wajar dicontohi KRT lain kerana ia menyelitkan elemen menambah ilmu, berupaya memberi manfaat kepada peserta program dalam menjalani kehidupan seharian.

Pengerusi pelaksana Program Integrasi dan Kembara Ilmu Sulaman Kasih, Sukri Suradi berkata program selama empat hari mulai hari ini (Selasa) akan meliputi program lawatan ke Kundasang dan Labuan.

“Objektif program ini ialah untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai cara bertani moden di bandar dan usaha menghasilkan minyak kelapa dara serta menternak madu kelulut di Labuan.

“Kita juga memberi pengalaman kepada peserta dengan bermalam di Kundasang kerana walaupun ia merupakan daerah jauh dari kota besar, tetapi ia merupakan penyumbang besar kepada ekonomi Sabah kerana Kundasang merupakan tempat pelancongan dan menjual hasil tanaman seperti sayuran dan bunga-bungaan,” katanya.

Seramai 42 peserta daripada KRT Taman Kam Jai Yen, Taman Matahari, Apartmen Indah Jaya dan Taman Harmoni menyertai program itu.