LABUAN: Krisis air sejak minggu lalu di pulau ini, boleh dikategorikan berada pada tahap kecemasan atau ‘emergency’.
Sehubungan itu Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli meminta Kementerian Wilayah Persekutuan agar bertindak segera dan menurunkan peruntukan kecemasan bagi menangani masalah itu dengan lebih berkesan.

“Keadaan krisis air d Labuan ni sangat teruk dan ia menjejaskan bukan saja keselesaan mendapat bekalan air untuk mandi dan membersihkan diri, tetapi sudah sampai ke tahap membahayakan kesihatan, terutama ketika penularan wabak COVID-19 yang masih mengancam kita.
“Hotel di pulau ini juga terjejas bekalan air sedangkan mereka mempunyai penyewa.
“Keadaan Labuan ini sebenarnya sudah boleh dikategorikan sebagai dalam kecemasan atau ‘emergency’,” katanya kepada Borneo Today di sini.
Portal Borneo Today pada 10 Julai lalu melaporkan, dianggarkan 85 peratus pengguna di pulau bebas cukai itu termasuk di pusat bandar dan hampir semua 27 kampung mengalami gangguan bekalan air sejak lima hari lalu.
Gangguan (kecuali di zon perindustrian) disebabkan kebocoran paip pam utama berdiameter 800mm dari tangki penerima Pulau Enoe ke loji rawatan air di Jalan Kolam, sebelum bekalan diedarkan kepada pengguna.
Sebelum ini, Rozman dilaporkan sebagai berkata berdasarkan maklumat, Labuan akan berhadapan dengan isu air dalam jangka masa yang lama.
Mengulas lanjut, Rozman berkata bantuan yang mencukupi perlu diberikan kepada Jabatan Bekalan Air (JBA) Labuan bagi menangani masalah krisis air di pulau ini.
“Saya tahu peruntukan yang mereka (JBA) terima sejak tahun 2014 adalah sangat kurang dan tidak mencukupi dibanding dengan keperluan sebenar.
“Mungkin kita juga perlu buat lantikan kontraktor berkepakaran tinggi sebagai kontraktor tambahan untuk membantu kontraktor sedia ada membaiki paip dengan segera.
“Ini juga memerlukan campur tangan dan tambahan kewangan daripada kerajaan Pusat terutamanya Kementerian Wilayah Persekutuan,” katanya.