KPWKM Salur 6,300 Bantuan Bakul Makanan Ke Semporna Dan Kunak

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,300 bantuan bakul makanan telah disalurkan di tujuh lokaliti di Semporna dan Kunak di Sabah susulan pewartaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan tersebut dari 11 hingga 24 Okt ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini  berkata bagi Selangor dan Kedah, penyaluran bantuan bakul makanan kepada penduduk yang terlibat sedang diuruskan.

Menurut kenyataan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun telah mengarahkan kementerian dan agensi di bawahnya memastikan barang keperluan sentiasa mencukupi, berada dalam keadaan baik dan sentiasa bersiap siaga dalam mengharungi pandemik COVID-19.

Rina turut turun padang semalam bagi meninjau kesiapsiagaan Pusat Operasi Sementara Bantuan Bakul Makanan di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian Bangi yang dibuka sejak 18 Mac lepas.

Sebanyak 799,583 bantuan bakul makanan telah diagihkan kepada ketua isi rumah yang memanfaatkan hampir 3.1 juta rakyat yang terkesan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan  PKPD  sebelum ini.

“Pengurusan pengagihan adalah berdasarkan pelbagai sumber aduan dan rujukan seperti melalui aduan secara langsung individu ke Pusat Kawalan Pengurusan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah, rujukan pemimpin masyarakat dan melalui Talian Prihatin Masyarakat KPWKM, Talian Kasih 15999 dan WhatsApp 0132615999,” menurut kenyataan itu.