KPM Digesa Bina Segera Asrama Sekolah Di Kiulu

KIULU: Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyegerakan kelulusan cadangan membina asrama SMK Tun Fuad Stephens yang sekian lama tertangguh, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, asrama yang dicadangkan hanya menunggu persetujuan KPM untuk memulakan pembinaan dan ia mampu menempatkan seramai 80 orang pelajar.

Difahamkan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu telah menghantar surat kepada Jabatan Pendidikan Sabah, yang kemudiannya dimajukan kepada KPM. Namun mereka masih belum menerima maklum balas selepas setahun.

“Ini tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan pelajar datang dari kampung terpencil dan keluarga berpendapatan rendah.

“Memandangkan asrama tidak ada, pelajar-pelajar ini terpaksa menyewa bilik dari orang kampung semata-mata untuk berdekatan dengan sekolah mereka,” kata Joniston selepas mengagihkan bungkusan makanan kepada penduduk dan pelajar di Kampung Ranap di sini, pada Ahad.

Beliau berkata pelajar luar bandar mempunyai potensi besar yang sama seperti pelajar di bandar, dan kebolehan mereka tidak harus dihadkan tapi dibangunkan.

Tambahnya, kerajaan mesti memainkan peranan yang berkesan dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti dan sama rata dengan memenuhi keperluan khusus pelajar luar bandar bagi memastikan mereka mendapat akses pembelajaran dengan mudah.

Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah turut menasihati pelajar-pelajar, khususnya yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi, agar belajar bersungguh-sungguh dan tabah walaupun datang dari latar belakang yang susah.

“Saya bukan berasal daripada keluarga berada, jadi saya faham cabaran yang dihadapi pelajar. Namun, kita tidak seharusnya menjadikan itu sebagai alasan untuk ponteng atau berhenti sekolah. Sebaliknya, cabaran ini seharusnya mendorong kita untuk melakukan yang lebih baik dan bekerja lebih keras.

“Kerja keras adalah kunci kejayaan dan kita harus fokus pada pelajaran untuk membanggakan keluarga. Melihat betapa gigihnya ibu bapa memberi pendidikan kepada anak-anak, kita harus menghargai pengorbanaan mereka dan membalas jasa mereka suatu hari nanti,” katanya.

Beliau juga menggalakkan para pelajar dari Kiulu untuk terus memupuk semangat belajar agar mereka menjadi contoh teladan bukan sahaja di kalangan komuniti mereka, tetapi juga untuk negeri dan negara secara keseluruhan.

Dalam lawatan beliau, Joniston turut mengedarkan bungkusan makanan kepada Asrama Perempuan San Damiano, Pusat Latihan Belia Monfort Asrama Lelaki San Damiano, dan the Good Shepherd Services.

Bungkusan makanan itu disumbangkan oleh sekumpulan ahli perniagaan, yang diketuai oleh Collin Tan. Mereka berada di Kiulu untuk menjalankan aktiviti amal sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan turut menyumbangkan bekalan keperluan lain.