KPM Beri Tempoh Hingga 22 Bulan Untuk Kontraktor Siapkan Projek Sekolah Daif di Sarawak

ASAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi tempoh  antara 18 hingga 22 bulan kepada kontraktor yang dilantik bagi projek naik taraf dan pembinaan semula sekolah daif di Sarawak untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan.

Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Mohamad Alamin berkata tempoh itu juga telah ditetapkan apabila  pihak kontraktor dilantik menerima Surat Setuju Terima (SST) bagi projek berkenaan.

“Namun disebabkan pandemik, ada projek pembinaan yang mengalami kelewatan dan di Sarawak kami (KPM) menerima aduan dari pihak kontraktor bahawa mereka lambat menerima bekalan bahan binaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam di sini hari ini.

Untuk makluman, Mohamad berkata bagi tahun 2019 hingga 2021 kerajaan telah meluluskan sejumlah 186 projek menaik taraf dan pembangunan semula sekolah daif di negeri ini dengan kos berjumlah RM1.579 bilion.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 29 projek telah siap dibina manakala 41 projek lagi sedang dalam pembinaan manakala lima projek lagi dalam fasa prabina dengan perbelanjaan berjumlah RM168.45 juta.

Tahun ini, katanya Kementerian Pendidikan juga telah mendapat kelulusan sebanyak 59 projek dengan jumlah kos RM402.71 juta dan kesemua projek masih pada peringkat prabina.