KPLB Sedia Peruntukan Khas Naiktaraf Jalan Pelancongan Komuniti Luar Bandar

40

PENAMPANG: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyediakan peruntukan khas untuk menaiktaraf Jalan Pelancongan Luar Bandar di negeri ini yang diusahakan penduduk kampung bermula tahun depan.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, peruntukan khas untuk menyelenggara atau menaik taraf ke jalan konkrit jalan menuju ke kawasan pelancongan komuniti luar bandar akan dimasukkan dalam bajet negeri 2020 bagi KPLB Sabah yang akan dibentangkan minggu depan.

“Walaupun jumlah awal peruntukan tidak banyak, tetapi ini merupakan inisiatif awal kementerian saya untuk membantu pelancongan berasaskan komuniti luar bandar. Saya mendapat banyak aduan kebanyakan jalan menghubungkan pusat pelancongan yang diusahakan oleh komuniti di luar bandar tidak dapat diselenggara atau dinaiktaraf kerana ketiadaan peruntukan khusus.

“Saya telah dimaklumkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri dan Kementerian Kewangan bahawa kita hanya akan dapat memasukkan kod peruntukan khas untuk jalan pelancongan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12, tetapi kita tetap menyediakan peruntukan ini di bawah kod sedia ada sebagai tanda kebertanggungjawab kita kepada pembangunan pelancongan komuniti luar bandar.

“Oleh itu, kabinet negeri pada mesyuarat beberapa bulan lepas telah membuat ketetapan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pembangunan Pelancongan Luar Bandar bagi memperincikan polisi berkaitan sektor pelancongan luar bandar dan melipatgandakan usaha membangunkan sektor pelancongan luar bandar termasuk kemudahan infra jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Pelancongan Kg.Kibunut Penampang, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain peruntukan khas untuk jalan perhubungan pelancongan luar bandar, KPLB Sabah juga menyediakan peruntukan khusus untuk Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) dan Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) bermula tahun depan.

“Ini adalah inisiatif KPLB Sabah untuk membantu mensejahterakan penduduk luar bandar agar mereka juga turut menikmati manfaat pembangunan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Mengenai program itu, beliau memuji usaha penduduk kampung menubuhkan Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Pelancongan Kg.Kibunut dan berharap ia akan menjadi platform untuk memajukan eko pelancongan di kampung itu.

Ewon menyampaikan sijil kepada pengusaha pelancongan kampung itu.

“Kita mengalu-alukan penubuhan persatuan ini dan menyeru penduduk kampung agar terus bekerjasama memajukan kampung ini,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kg Kibunut Daria Madating berharap melalui perusahaan eko pelancongan kampung itu dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat kampung.

“Antara tujuan penubuhan persatuan ini adalah untuk menyahut seruan kerajaan supaya penduduk luar bandar berkecimpung dalam bidang perniagaan berkonsepkan pelancongan.

“Dengan adanya perusahaan seperti ini, kita akan dapat membantu menaiktaraf kehidupan masyarakat kampung seterusnya membantu meningkatkan pendapatan negara dengan menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini khususnya Penampang,” katanya.

Ewon bergambar bersama para pengusaha pelancongan Kg.Kibunut.

Bagaimanapun katanya, Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kibunut menghadapi pelbagai masalah termasuk pengusaha homestay tidak mempunyai lesen perniagaan dan tiada rangkaian telekomunikasi menyukarkan penduduk kampung mempromosikan produk pelancongan mereka.

Selain itu katanya, penduduk kampung juga menghadapi masalah dari segi infrastruktur iaitu jalan perhubungan ke kawasan pelancongan Kg.Kibunut dan jalan-jalan pertanian.

“Kami berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian terhadap permasalahan yang kami hadapi selama ini,” katanya.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sumbangan di bawah program touchpoints menteri sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Pelancongan, Homestay dan Produk Kg.Kibunut untuk keceriaan kawasan pelancongan kampung itu.

Turut hadir, Pegawai Daerah Penampang Hendry Idol, Pegawai Pembangunan Masyarakat Moyog Benjamin Soiku dan para pemimpin masyarakat setempat.