KPLB Sedia Kerjasama Dengan Keningau FM Sampaikan Dasar Kerajaan – Ewon

58
Ewon (tengah) bersama Rasinin (dua dari kiri), Malinaziah (dua dari kanan), Hassan (kiri) dan Ivy (kanan) bersama-sama memotong kek sebagai simbolik perasmian Konsert Sedekad Keningaufm.

KENINGAU: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya bersedia bekerjasama dengan KeningauFM untuk sebarang aktiviti dalam menyampaikan dasar-dasar dan program-program kerajaan khususnya berkaitan pembangunan luar bandar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar stesen penyiaran itu lebih kerap mengadakan aktiviti melibatkan masyarakat akar umbi khususnya di kawasan luar bandar.

“Kementerian saya (KPLB) dan agensi-agensi berkaitan sangat menyokong segala usaha stesen ini (Keningau FM). RTM bukan setakat memberikan hiburan dan maklumat tepat kepada para pendengar tetapi berperanan untuk mengetengahkan muzik atau lagu-lagu tempatan.

“KeningauFM juga boleh membantu menyampaikan maklumat atau apa sahaja program yang berlangsung di kampung-kampung, sekolah atau sebagainya dan membantu mempromosikan produk pelancongan serta hasil inovasi di luar bandar,” katanya.

Ewon menerima cenderakenangan daripada Malinaziah pada majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sedekad KeningauFM 2019, di Dewan Masyarakat Keningau, di sini, pada malam Jumaat.

Ewon yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedamaian, berkata peranan dan perkhidmatan yang disediakan oleh stesen radio itu perlu diketahui dan diambil peluang oleh masyarakat untuk kepentingan bersama.

“Saya difahamkan program ini diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-sepuluh Keningaufm. Program ini juga adalah bagi menghargai sokongan yang diberikan oleh pendengar di daerah Pedalaman sejak stesen radio ini ditubuhkan pada 2009,” katanya.

Beliau berkata, hubungan baik antara KeningauFM, pendengar dan rakan-rakan strategik amat penting untuk memastikan apa sahaja dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan kepada sasaran.

Ewon bergambar bersama warga kerja Keningaufm dan RTM Sabah yang hadir pada majlis itu.

“Setelah 10 tahun Keningaufm bersiaran di daerah Pedalaman ini tentu banyak peristiwa yang dilalui dan banyak juga usaha-usaha yang telah dilakukan termasuklah melaksanakan program-program bersama masyarakat di kawasan-kawasan terpencil selain terlibat dengan publisiti acara-acara besar yang diadakan di daerah Pedalaman.

“Jangkamasa 10 tahun adalah satu tempoh masa yang lama dan sudah tentu mematangkan Keningaufm untuk lebih ke hadapan mengharungi cabaran era masa kini yang lebih mencabar apatah lagi dengan kemunculan pelbagai aplikasi dan trend generasi kini yang lebih selesa dengan media sosial,” katanya.

Ewon berharap melalui program seumpama ini masyarakat dapat memahami dan terus menyokong KeningauFM sebagai salah satu media arus perdana yang diyakini kesahihan maklumat dan berita.

Konsert Sedekad Keningaufm itu diserikan dengan pelbagai persembahan menarik daripada artis-artis tempatan termasuk Francis Landong, Kumpulan Atmosfera, Sharin Amud Shapri, Mary Intiang, Sumarli dan The Sistar.

Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Adun Liawan Rasinin Koutis, Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi, Pegawai Daerah Keningau Hassan Mahali dan Pengurus Keningaufm Ivy Rudolph.