KPLB Sabah Terima Senarai Nama Penerima Bantuan Covid-19

Ewon mendengar taklimat ringkas mengenai Pakej Bantuan Covid-19 daripada pegawai kanan KPLB Sabah.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah telah menerima senarai nama e-Kasih dan golongan berpendapatan rendah B40 yang bakal mendapat faedah daripada Pakej Bantuan Covid-19 kerajaan negeri Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, berdasarkan data yang diperolehi daripada pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah seramai 38,203 penerima e-Kasih iaitu miskin tegar seramai 15,747 orang dan miskin (22,456 orang).

“Mereka yang berdaftar dalam e-Kasih akan menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM500 seorang.

“Bagaimanapun, kita telah membuat keputusan untuk membantu senarai yang diletakkan di bawah kategori terkeluar dalam daftar e-Kasih melibatkan 41,115 orang kerana mereka berada dalam golongan B40. Mereka akan mendapat bantuan ‘one-off’ RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat ringkas daripada Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat dan para pegawai kanan KPLB Sabah di sini, hari ini.

Taklimat ringkas itu mengenai perkembangan terkini tiga jenis bantuan di bawah Pakej Bantuan Covid-19 yang diselaraskan KPLB Sabah seperti yang diumumkan baru-baru ini oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, tiga bantuan itu ialah Bantuan Khas Kepada Miskin Tegar dan Miskin (e-Kasih), Bantuan Berpendapatan Rendah B40 (petani, penternak, nelayan, pekebun kecil dan malim gunung dan anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan elaun untuk Majlis Pengurus Komuniti Kampung (MPKK).

Mengenai bantuan golongan B40 beliau berkata, setakat ‪jam 2‬ petang hari ini (Isnin), KPLB Sabah telah menerima lebih 76,000 daftar nama daripada jabatan dan agensi kerajaan berkaitan di seluruh daerah. Mereka akan menerima bantuan ‘one-off’ sebanyak RM300.

“Senarai penerima dari golongan petani seramai 14,781 orang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian Sabah, Penternak seramai 516 orang (data dibekalkan oleh Jabatan Veterinar Sabah) dan Nelayan (7,592 orang, data dibekalkan Jabatan Perikanan Sabah).

“Pekebun Kecil Sawit (data dibekalkan oleh Lembaga Minyak Masak (MPOB) Malaysia, Sabah) seramai 506 orang, Pekebun Kecil Getah (data dibekalkan oleh Lembaga Industri Getah Sabah, 34,439 orang), Pekebun Kecil Koko (data dibekalkan oleh Lembaga Koko Malaysia, Sabah, 2,810 orang) dan  Pengusaha Asas Tani (data dibekalkan oleh Koperasi Pembangunan Desa, Sabah seramai 1,137 orang).

“Malim Gunung seramai 316 orang diterima daripada Taman-Taman Sabah dan Anak-Anak Sabah Yang Bekerja Di Semenanjung (data dibekallan oleh Pejabat Rumah Sabah, Kuala Lumpur seramai 14,624 orang,” katanya.

Ewon berkata, para pegawai dan kakitangan KPLB Sabah bekerja siang malam untuk menyiapkan waran baucer pembayaran bantuan itu.

“Setiap baucer mengandungi nama dan nombor akaun penerima (1 baucer mengandungi 1,000 nama) dan seterusnya para pegawai kementerian menghantar baucer-baucer ini kepada Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS). Seterusnya JBNS akan memproses pembayaran secara e-banking ke akaun setiap penerima.

“Cabarannya adalah bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank. Jika, penerima tidak mempunyai akaun bank, maka pejabat daerah akan mengetuai proses pembayaran tunai kepada penerima,” katanya.

Ewon berkata: “Jika anda seorang petani bukit dan pernah menerima bantuan subsidi selama ini, maka anda sepatutnya mendapat bantuan ini kerana nama anda sudah berada dalam daftar data Jabatan Pertanian di daerah anda”.

“Apapun jika anda masih ada pertanyaan, boleh menyemak dengan jabatan atau agensi kerajaan berkenaan bagi memastikan nama anda sudah mereka hantar ke KPLB Sabah atau sebaliknya,” kata Ewon.

Beliau berharap, semua yang tersenarai sebagai penerima bantuan akan mendapat bantuan itu sebaik sahaja JBNS memasukkan bantuan itu ke dalam akaun.

“Di peringkat KPLB Sabah, saya telah mengarahkan agar baucer-baucer untuk kesemua nama yang kita terima setakat ini disiapkan selewat-lewatnya esok supaya JBNS juga cepat memproses pembayarannya,” katanya.