KPLB Sabah Perkasakan Urustadbir MPKK Melalui Program Lawatan Sambil Belajar

105
Ewon bergambar bersama pegawai KPLB Sabah.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menghantar 50 delegasi terdiri daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan usahawan KPLB Sabah mengadakan lawatan sambil belajar dan menyertai Karnival Usahawan Desa (KUD) Putrajaya Kuala Lumpur selama lima hari bermula hari ini (17 Okt).

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, untuk tahun ini, MPKK yang terlibat adalah dari lima daerah iaitu Kota Belud, Keningau, Lahad Datu, Ranau dan Nabawan.

“Program ini antaranya bertujuan untuk memperkasakan kepimpinan dan urustadbir para pemimpin akar umbi iaitu pengerusi-pengerusi MPKK. Kita akan teruskan program seumpana ini pada tahun akan datang untuk memberi peluang kepada MPKK yang lain sekiranya ada bajet.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Keusahawanan Industri Desa KPLB Sabah Felicia Sindan (tengah) bergambar bersama usahawan KPLB Sabah yang menyertai karnival itu.

“Selain melawat KUD, mereka juga akan melawat beberapa kampung contoh dan berkongsi pengalaman dengan MPKK di beberapa kampung di sana. Saya berharap Pengerusi-Pengerusi MPKK ini juga menjadi duta kecil Sabah sepanjang lawatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan ringkas dengan semua rombongan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian merakamkan penghargaan kepada KPLB Persekutuan kerana memberi peluang kepada empat usahawan KPLB Sabah menyertai pameran dan jualan sempena Karnival Usahawan Desa.

Ewon bergambar bersama rombongan MPKK Sabah yang menyertai lawatan sambil belajar.

“Selain membantu mempromosikan produk-produk usahawan tempatan Sabah iaitu kelapa dara dan produk kecantikan, peluang seperti ini juga akan meluaskan lagi rangkaian pasaran mereka. Setakat ini mereka memasarkan produk bukan sahaja dalam pasaran tempatan tetapi telah menembusi pasaran Semenanjung dan luar negara termasuk di Brunei, Singapura, China dan Korea,” katanya.

Ewon berkata, empat usahawan Sabah terpilih menyertai Karnival Usahawan Desa itu ialah Ronnie Onginjan, Zaharinah Masair, Norsiah Ahiddin dan Jooskin Toripon dari Pitas dan Kudat.

“Mereka adalah antara usahawan berjaya dibawah bimbingan KPLB Sabah. Saya amat yakin mereka boleh mendapat hasil jualan yang besar untuk produk masing-masing sepanjang karnival ini,” katanya.