KPLB Sabah Akan Terus Perkasa Kepimpinan MPKK

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

KUDAT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan terus memperkasakan kepimpinan badan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini dengan menganjurkan pelbagai kursus berkaitan pengurusan dan pentadbiran MPKK.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, pada tahun ini KPLB Sabah akan menganjurkan 10 Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK di seluruh Sabah bagi meningkatkan kefahaman mengenai fungsi dan tanggungjawab MPKK sebagai peneraju kepimpinan peringkat akar umbi.

“Kita memilih kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor untuk memulakan kursus ini pada tahun ini dan selepas ini di kawasan DUN Pantai Manis, seterusnya di kawasan-kawasan lain.

Ewon menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil peserta.

“Kementerian telah menetapkan untuk mengadakan 10 kursus pada tahun ini, bagaimanapun ia tertakluk kepada baki peruntukan, saya berharap ia masih boleh dilaksanakan untuk satu atau dua kawasan DUN yang lain,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK Bagi Kawasan Tanjung Kapor, Kudat, di Dewan Mini Pejabat Daerah Kudat, di sini, pada Khamis (hari ini).

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Kapor Ben Chong, Timbalan Setiausaha Tetap KPLB Sabah Aftar Nurajat, Pegawai Daerah Kudat Sapdin Ibrahim, Pengarah Kursus yang juga Setiausaha Rendah (Dasar) KPLB Sabah Majaran Osman, ketua-ketua jabatan dan para pemimpin setempat.

    Ewon bersalaman dengan para peserta yang menyertai kursus itu.

Ewon yang juga Adun Kadamaian berkata, kursus tersebut antaranya membincangkan peranan MPKK mengenai hak tanah adat, keselamatan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar, pengurusan pembangunan desa dan urustadbir MPKK.

Katanya lagi, penganjuran kursus itu yang  turut melibatkan beberapa jabatan dan agensi lain merupakan antara pengisian utama KPLB Sabah.

“Antara objektif kursus ini ialah, memperkasakan pengetahuan dan kemahiran urustadbir MPKK selain merapatkan kerjasama di antara badan pengurusan kampung dengan agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat memberikan taklimat sepanjang kursus,” katanya.

Mengenai pembayaran elaun MPKK, Ewon berkata, KPLB Sabah mengambil tindakan terhadap aduan-aduan kelewatan pembayaran elaun itu dengan memperkenalkan Sistem Pembayaran secara online.

“Saya akui kelemahan sistem sedia ada yang menggunakan sistem baucer. Saya minta maaf kepada semua MPKK yang menghadapi kelewatan pembayaran elaun pada tahun lepas.

“Atas sebab itu, saya meminta supaya satu kaedah baharu sistem pembayaran elaun diperkenalkan secara elektronik sama seperti pembayaran gaji penjawat awam setiap bulan bermula tahun ini,” katanya.

Ewon bergambar bersama para pemimpin dan peserta kursus.

Sempena lawatan kerja di Kudat, beliau turut meluangkan masa meninjau Kampung Pengaraban, Kudat susulan permohonan MPKK yang disampaikan melalui Adun Tanjung Kapor, Ben Chong berkenaan keperluan menaiktaraf dewan terbuka dan titian kereta di kampung itu itu.

“Saya bersetuju dengan keperluan kedua-duanya dan meminta supaya Pejabat UPPM Tanjung Kapor dan Pejabat Daerah Kudat mengemukakan dokumentasi teknikal kepada kementerian agar kami dapat memproses peruntukan.

“Saya ingin melihat kedua-dua infra asas kecil ini dapat diperbaiki dan dinaiktaraf untuk kemudahan penduduk di kampung ini,” katanya.

Kursus selama tiga hari anjuran KPLB Sabah itu disertai lebih 100 peserta yang terdiri daripada pengerusi dan setiausaha kerja MPKK Kawasan Tanjung Kapor.