KPLB Pusat Luluskan Geran MPKK RM200,000 Untuk DUN Kadamaian

Rina menyampaikan surat kelulusan Geran MPKK DUN Kadamaian kepada Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Peter Jiton mewakili MPKK Kadamaian, disaksikan oleh Ewon (dua dari kiri).

KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Persekutuan meluluskan geran Pembangunan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebanyak RM200,000 yang diagihkan kepada 20 buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, setiap MPKK akan menerima peruntukan RM10,000 bagi membiayai pelbagai program pembangunan kampung di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, bagi fasa pertama kerajaan persekutuan menyalurkan sejumlah RM3 juta geran MPKK untuk Sabah dan 20 MPKK di DUN Kadamaian merupakan kumpulan kampung yang pertama mendapat geran itu.

“Secara keseluruhannya Sabah mempunyai 2,853 MPKK dan daripada jumlah itu 74 MPKK adalah di DUN Kadamaian. Setakat ini sebanyak 273 permohonan diterima dari seluruh Sabah, bagaimanapun terdapat banyak keperluan untuk membetulkan pengisian permohonan yang telah dikemukakan sebelum diluluskan.

“Apapun syabas kepada MPKK Kadamaian dan Pegawai Daerah Kota Belud, Hajah Diyanah Abdullah dan PPM Kadamaian, Saikom Watis serta Jabatan KEMAS Kota Belud yang bertungkus lumus membantu memudahcarakan permohonan daripada MPKK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Geran MPKK kepada 20 MPKK DUN Kadamaian dan Penyerahan Kunci Rumah Bina Baru PPRT, di Pusat Perhubungan Adun Kadamaian, di sini, kelmarin.

Mengenai rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian meminta agar kerajaan persekutuan memberikan peruntukan lebih besar untuk membina kemudahan Rumah Bina Baharu PPRT.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan menyediakan sejumlah peruntukan untuk membina 445 unit bina baharu PPRT dan 1,730 unit baik pulih PPRT di seluruh Sabah.

Pada majlis itu, seramai enam ketua isi rumah dalam DUN Kadamaian yang berdaftar e-Kasih masing-masing menerima kunci rumah bina baharu yang siap sepenuhnya.

“Saya telah melawat kesemua keluarga ini sebelum ini dan syukur, kini mereka boleh mendiami rumah yang lebih selesa,” katanya.