KPLB Perkenalkan Rumah Sejahtera Di MESEJ, Kampung Sejahtera

108
Antara yang menghadiri mesyuarat itu.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkenalkan pembinaan Rumah Sejahtera Sabah di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan kampung-kampung di bawah Program Kampung Sejahtera yang terpilih bagi fasa pertama bermula tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata program itu merupakan inisiatif baharu Kerajaan Negeri melalui KPLB Sabah di bawah pendekatan Bidang Keberhasilan Utama Negeri di mana pembinaan rumah untuk rakyat termiskin menjadi salah satu agenda utama.

Beliau berkata, pemilihan pelaksanaan Program Rumah Sejahtera Sabah di MESEJ dan Kampung Sejahtera adalah kerana kedua-duanya di bawah program pembasmian kemiskinan.

“Saya telah menyuarakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri keperluan Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khas bagi program perumahan rakyat termiskin terutamanya di perkampungan MESEJ kerana sebelum ini rumah-rumah peserta MESEJ dibina melalui peruntukan yang disalurkan oleh FELDA. Kita tidak lagi menerima peruntukan tersebut, tetapi program MESEJ perlu diteruskan dan ditambahbaik.

Ewon menunjukkan rekabentuk Rumah Sejahtera yang akan dibina di kawasan Mesej dan Kampung Sejahtera.

“YAB Ketua Menteri dan Jemaah Menteri telah bersetuju dan pada sidang Dewan Undangan Negeri bulan lepas, kita telah menerima sejumlah RM6 juta peruntukan tambahan untuk program pembasmian kemiskinan.

“Sebahagian daripada peruntukan itu, kita gunakan untuk memulakan Program Kampung Sejahtera di tiga buah perkampungan MESEJ iaitu Timpangoh Penampang, Tukar Pitas dan Abai Kinabatangan. Kita juga akan mengembangkan program ini ke beberapa Kampung Sejahtera yang terpilih pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat singkat sempena mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MESEJ di kementerian itu, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Rumah Sejahtera itu akan mempunyai rekabentuk tersendiri, iaitu mempunyai tiga bilik tidur, dapur, bilik air, beranda atau kaki lima serta warna cat yang tersendiri bertujuan bagi mengujudkan identiti tersendiri rumah di bawah program ini.

Beliau berkata, kos pembinaan Rumah Sejahtera dianggarkan RM60,000 setiap satu.

“Saya berharap pelaksanaan Rumah Sejahtera ini siap sepenuhnya menjelang hujung tahun ini dan seterusnya akan dilancarkan oleh Ketua Menteri pada awal tahun hadapan,” katanya.

Dijangka sejumlah 75 buah Rumah Sejahtera fasa pertama akan dibina pada tahun ini.

Ewon ketika menyampaikan taklimat ringkas pada meayuarat itu.

Menurut Ewon, inisiatif tersebut juga dimulakan untuk melengkapkan komitmen Kerajaan Persekutuan bagi Program Bantuan Rumah (PBR) rakyat termiskin sama ada bina baharu atau baik pulih rumah.

“KPLB Sabah akan mengadakan perbincangan dari masa ke semasa dengan KPLB Persekutuan bagaimana untuk menambahbaik pelaksanaan PBR di Sabah. Kita telah menyampaikan secara rasmi permintaan supaya lebih banyak Program Bina Baharu PPRT diperlukan di Sabah berbanding Program Baik Pulih.

“Saya juga telah menjemput Pengarah GIAT MARA ke pejabat untuk perbincangan mengenai pelaksanaan Program Bina Baharu PPRT secara IBS (industrialised building system) dan juga Program Baik Pulih Rumah yang menjadi salah satu isu yang diambil serius dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah,” katanya.

Dalam mesyuarat tersebut, Ewon turut mengalu-alukan kehadiran wakil daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dalam Jawatankuasa Pemandu MESEJ khususnya bagi membantu usaha membekalkan air terawat bawah tanah di perkampungan MESEJ yang belum mendapat bekalan air bersih di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Turut hadir, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Timbalan Setiausaha KPLB Sabah Timbalan Setiausaha Tetap Aftar Nurajat, Ketua Aktiviti Hidrogeologi JMG, Jaineh Lingi, pegawai-pegawai kanan KPLB Sabah dan pegawai-pegawai daerah.