KPLB Akan Perkenal Program Ekonomi Tambahan Di Kawasan MESEJ

234
Ewon bersalaman dengan peserta Penternakan Burung Walit Kampung Perpaduan Kudat

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KUDAT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah akan memperkenalkan aktiviti ekonomi tambahan berikutan harga komoditi seperti getah dan sawit yang tidak konsisten pada masa ini.

Oleh itu, KPLB Sabah sedang merangka pelbagai Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di perkampungan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh Sabah.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada pendekatan penambahbaikan kepada program pembasmian kemiskinan melalui MESEJ.

“Sebahagian besar daripada program MESEJ ini melibatkan aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah. Bagaimanapun, harga komoditi ini tidak konsisten.

Ewon beramah mesra dengan penduduk Pulau Banggi ketika mengadakan lawatan kerja di pulau berkenaan

“Oleh itu, terdapat keperluan untuk memperkenalkan aktiviti ekonomi tambahan di kawasan perkampungan MESEJ.

“Antara aktiviti yang boleh menjana pendapatan tambahan adalah seperti penternakan burung wait, madu tantadan serta eko pelancongan.

“Daripada lawatan-lawatan kerja saya ke perkampungan MESEJ, saya dapati ada keperluan untuk merangka lebih banyak inisiatif bagi menjana pendapatan tambahan.

”Dengan itu, kita akan memperkenalkan Program Aktiviti Ekonomi Tambahan di kawasan-kawasan MESEJ ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Ewon mendengar taklimat mengenai Agropolitan Pulau Banggi

Kenyataan itu dibuat selepas mengadakan lawatan kerja selama dua hari di beberapa perkampungan MESEJ di sekitar Kudat.

Selain melawat, Ewon turut mendengar Taklimat Pembangunan Daerah oleh Pegawai Daerah Kudat Sabdin Ibrahim.

Ewon, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian ini berkata, melalui lawatannya di MESEJ Barambangon dan MESEJ Minikodong memang ada keperluan untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi dalam kawasan itu.

“Bagi tahun ini, kita akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan sedia ada yang diperuntukkan kepada KPLB Sabah untuk program-program ekonomi tambahan di kawasan MESEJ.

“Manakala, bagi tahun hadapan, kita telah mengemukakan input khusus kepada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Sabah supaya inisiatif khusus ini dapat dibajetkan. Ini adalah antara lain hasil dapatan daripada Retreat KPLB Sabah yang telah diadakan pada bulan lepas,” katanya.

Dalam masa yang sama, katanya, KPLB Sabah juga akan menjadikan Pusat Keusahawanan Desa (PKD) sebagai satu contoh kejayaan pendekatan pembangunan usahawan luar bandar yang boleh dikembangkan ke daerah-daerah lain.

“Pendekatan ini bukan hanya dapat membangunkan para usahawan, tetapi mereka juga dapat memberikan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.

Pusat Keusahawanan Desa Kudat menempatkan lapan bengkel usahawan iaitu bengkel memproses mee, makanan ringan, hasil laut, produk coklat, kek dan pastry, seni kraf batik, pengeluar produk kecantikan dan bengkel manik dan kraftangan.

Menurutnya, lawatan kerja sebegitu dapat membantu KPLB Sabah merancang program-program yang lebih berkesan, praktikal dan mapan untuk dilaksanakan pada masa akan datang.