Ewon: KPLB Akan Perbaiki Kerosakan Kemudahan Awam Akibat Banjir

522
Ewon ketika menghadiri taklimat Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Marudu, turut kelihatan Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi (kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Kerosakan kemudahan awam yang terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini akan dibaikpulih dalam tempoh terdekat ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick berkata, beliau bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB) Persekutuan akan berbincang tentang langkah terbaik untuk membaik pulih mahupun membina baharu kemudahan awam yang rosak disebabkan banjir.

“Selepas Tahun Baharu Cina ini kita akan mengadakan mesyuarat terperinci antara KLPB Sabah an Persekutuan untuk memuktamadkan bagaimana kita boleh membantu daerah-daerah yang terlibat banjir.

“Semasa banjir berlaku kita sudah membincangkan supaya ada peruntukan kecemasan yang dapat digunakan bagi membina semula serta membaik pulih kerosakan kemudahan awam di Kota Marudu dan daerah-daerah lain yang terlibat banjir,” katanya ketika ditanya tentang langkah kerajaan mengatasi masalah kerosakan kemudahan awam di daerah terjejas banjir.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kota Marudu, di sini pada Rabu.

Ewon menyerahkan beras kepada Pegawai Daerah Kota Marudu Arnold Joibi sebagai simbolik penyampaian bantuan kepada mangsa banjir di daerah berkenaan.

Menurutnya, dalam taklimat bersama Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Marudu itu, beliau menerima senarai kerosakan kemudahan awam seperti dewan, balai raya, jambatan dan jeti.

Anggaran nilai kerosakan masih belum diperolehi. Bagaimanapun Pegawai Daerah akan turun meninjau sejauh mana kerosakan dan berapa kos kerugian yang terlibat.

“Selepas itu barulah kita dapat menentukan bagaimana untuk membina semula dan membaik pulih kerosakan yang berlaku,” jelasnya.

Ewon berkata, lawatan itu diadakan atas pesanan Ketua Menteri yang mahukan Jemaah Kabinet Negeri melawat kawasan dilanda banjir bagi menghulurkan bantuan yang diperlukan.

Untuk itu, kunjungannya pada hari ini adalah bagi menyampaikan bantuan barangan keperluan dapur kepada Jawatankuasa Bencana Daerah Kota Marudu untuk diagih-agihkan kepada mangsa terjejas banjir.

Katanya, sumbangan yang disampaikan itu datang dari KPLB, Biro Bencana Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (Upko), Kelab WRS serta persatuan-persatuan lain yang prihatin terhadap keperluan mangsa banjir.

Dalam banjir yang berlaku pada Sabtu hingga Selasa, terdapat hampir 2,700 mangsa daripada lebih 700 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di Kota Marudu. Jumlah itu termasuk penduduk kampung yang terperangkap di rumah masing-masing.

Sementara itu, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tandek Suzie Salapan berkata, semua bantuan yang diterima selepas banjir surut ini akan diselaraskan dan diagihkan kepada penduduk kampung yang terjejas banjir di Kota Marudu.