KPDNHEP Terima Enam Laporan Kes Pembelian Mask Online

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menerima enam laporan berkaitan kes penjualan penutup hidung dan mulut yang dijual melebih harga dibenarkan setakat ini.

Pengarah KPDNHEP Georgie Abas berkata, kesemua enam laporan itu melibatkan pembelian secara online.

“Ada antara kes yang dilaporkan, pengadu belum membuat pembelian tetapi melihat harga jualan agak mahal iaitu melebihi harga ditetapkan.

“Oleh itu, kita akan menjalankan siasatan bagi kes-kes yang dilaporkan.

“Namun, bukan mudah untuk menyiasat penjualan online kerana kadang-kadang ada yang mengunakan akaun palsu untuk menipu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, enam kes ini masih dalam siasatan dan jika siasatan sudah selesai, pengadu akan dimaklumkan mengenai hasil siasatan berkenaan.

Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan 2011.

Bagaimanapun, sekiranya pengguna telah membuat pembelian penutup hidung dan mulut tetapi, barangan itu tidak sampai. Maka, pengguna boleh melaporkan perkara itu kepada polis bagi membolehkan siasatan dilakukan.