KPDNHEP Sandakan Tumpaskan Penyelewengan 15,048kg Minyak Masak Bersubsidi Bernilai RM37,000

SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sandakan merampas 15,048 kilogram minyak masak bersubsidi pelbagai jenama bernilai RM 37,620.00 dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Jawa 2, Batu 12, Jalan Sin Kee, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sandakan, Azdy Zukkry John berkata serbuan ke atas premis yang disyaki melakukan penyelewengan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi itu dilakukan jam 7.30 malam oleh sepasukan pegawai penguat kuasa yang diketuai Ketua Cawangan KPDNHEP Sandakan, hasil risikan selama seminggu di kawasan Batu 12, Jalan Sin Kee, Sandakan.

“Semasa serbuan, tiada individu yang berada di tempat kejadian.

“436 kotak bersamaan dengan 7,412 kilogram minyak masak paket satu kilogram bersubsidi, 5 tangki putih berisi anggaran 7,500 kg, lapan gelen berisi 136 kg minyak masak ditemui di premis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumlah keseluruhan minyak masak yang dirampas adalah 15,048 kg.

Azdy berkata berdasarkan siasatan awal, premis terbabit tidak mempunyai
kebenaran dan sebarang lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP kemudian bertindak menyita 15,048 kilogram minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM 37, 620.00.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122),

Bagi syarikat pula sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Pemilik kilang membungkus semula (Repacker) minyak masak bersubsidi juga adalah diingatkan agar tidak menjual minyak masak paket satu kilogram bersubsidi kepada pembeli yang tidak memiliki sebarang kebenaran bertulis daripada KPDNHEP.

“Pihak Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang tidak mematuhi undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan.

“KPDNHEP Cawangan Sandakan akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi agar tidak berlaku sebarang
bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan
kepada pihak kementerian melalui saluran berikut:

i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDNHEP
vi. Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245