KPDNHEP Sabah Sita 2,090 Liter Diesel Disyaki Diseleweng

TAWAU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel dalam satu serbuan di sebuah stor di Kampung Kobuta, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata serbuan jam 10.00 pagi itu menemukan 2,090 liter diesel yang disimpan dalam sebuah tangki.

Turut disita, sebuah lori, satu unit pam elektronik dan satu unit hos besar yang disyaki digunakan untuk menyeleweng barang kawalan itu.

Zulfamy berkata nilai keseluruhan barangan yang disita berjumlah RM35,993.50.

Katanya seorang lelaki tempatan yang dipercayai pekerja stor berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Risikan selama tiga hari dilakukan KPDNHEP Sabah sebelum serbuan.

“Berdasarkan siasatan awal, pekerja yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

Katanya siasatan mengikut seksyen 20(1) akta sama turut dibuat kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.