KPDNHEP Sabah Rampas 5,000 Liter Diesel Bersubsidi Diseleweng

KENINGAU : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 5,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseleweng dalam serbuan di Kampung Biah, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata dalam serbuan jam 7.45 pagi itu, pihaknya menemui sebanyak 5,000 liter minyak diesel di dalam lori tanker dan tong drum yang dipercayai untuk dijual kepada pihak industri.

Katanya, tiga buah lori beserta tong drum dan skid tank yang disyaki digunakan untuk aktiviti penyelewengan itu dirampas dengan nilai sitaan keseluruhan berjumlah RM128,750.00.

“Seorang lelaki tempatan yang sedang sibuk memindahkan barang kawalan semasa serbuan dijalankan turut ditahan dan diambil
keterangan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Georgie, berdasarkan keterangan awal, lelaki itu didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.

Sebelum serbuan, risikan telah dijalankan selama dua hari oleh KPDNHEP Sabah di lokasi berkenaan.

Georgie berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.

Mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta.

Manakala bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta.

“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.